KUALA LUMPUR – Sejumlah 132,543 kes kebankrapan direkodkan dari 2008 hingga 31 Januari tahun ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata daripada jumlah itu, 93,036 orang terdiri daripada lelaki mewakili 70.2 peratus manakala 39,507 orang wanita (29.8 peratus).
“Seramai 63,011 orang adalah bangsa Melayu (48 peratus); 41,732 Cina (31 peratus); 17,271 India (13 peratus); dan 10,529 lain-lain bangsa (8 peratus) diisytihar bankrap,” katanya menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut).
Lip Eng bertanya mengenai cadangan kerajaan dalam mengatasi kelemahan Akta Kebankrapan 1967 dan statistik kes kebankrapan.
Katanya berdasarkan statistik, Kuala Lumpur mencatatkan jumlah tertinggi individu diisytiharkan bankrap dengan 19,973 individu, diikuti Selangor (34,826 individu) dan Johor (24,085 individu).
Nancy berkata berdasarkan umur, individu dalam lingkungan umur 25 hingga 34 tahun paling ramai terbabit kes kebangkrapan dengan 27,701 orang.
Berhubung Akta Kebankrapan 1967, katanya, kerajaan sedang menggubal undang-undang kebankrapan yang baharu dan Jabatan Insolvensi Malaysia (MDL) kini dalam proses memuktamadkan beberapa cadangan pembaharuan untuk dimasukkan dalam undang-undang baharu itu.
“Akta Kebankrapan 1967 [Akta 360] tidak pernah dipinda secara menyeluruh sejak dikuatkuasakan. Pindaan hanya melibatkan peruntukan-peruntukan kecil yang tidak memberi perubahan besar kepada landskap pentadbiran kes kebankrapan di Malaysia,” katanya.
Menurutnya, antara perkara yang dipertimbangkan untuk dikaji semula ialah penyampaian Notis Kebankrapan dan Petisyen Kebankrapan secara penyampaian ganti dan memperkenalkan Perintah Tunggal bagi menggantikan Perintah Dua Tahap.
“Perintah Tunggal ini akan menggambarkan bahawa seseorang penghutang itu tidak dapat lagi diselamatkan daripada kebankrapan. Mekanisme penyelamat akan diperkenalkan bersekali dengan Perintah Tunggal ini,” katanya.
Pada masa ini, menurut Nancy, mereka yang bankrap hanya boleh memiliki harta termasuk peralatan, pakaian, tempat tidur dan lain-lain keperluan bagi dirinya dan pasangan yang nilai keseluruhan tidak melebihi RM5,000 seperti yang diperuntukkan dalam Akta 360.
“Dalam senario ekonomi masa kini, nilai tersebut adalah tidak munasabah untuk mana-mana (individu yang diisytiharkan) bankrap meneruskan kehidupan dan mewajarkan kerajaan untuk menilai semula penetapan ini kepada satu kadar yang lebih munasabah,” katanya.
Nancy berkata, undang-undang kebankrapan yang baharu itu juga akan mempertimbangkan kepentingan penjamin. – BERNAMA

