
KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia yang mahu ke India dinasihatkan supaya mengamalkan langkah-langkah pencegahan penularan jangkitan Influenza.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia berikutan kejadian wabak influenza A (H1N1) yang dilaporkan sedang berlaku di India waktu ini.
“Sehingga kini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak mengeluarkan sebarang nasihat perjalanan atau mengeluarkan sebarang larangan lawatan ke negara India.
“Namun, orang awam yang ingin pergi ke India dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan langkah-langkah mudah pencegahan penularan jangkitan influenza,” katanya dalam satu kenyataan media malam tadi.

Noor Hisham berkata, antara langkah muda pencegahan itu dengan mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi iaitu amalan
kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau sanitiser.
Katanya, langkah itu termasuk memakai penutup mulut jika berdekatan dengan orang yang mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan seperti selsema dan batuk, mengamalkan adab batuk yang baik dengan menutup mulut dan mengamalkan cara hidup sihat.
Menurut beliau, rakyat Malaysia di India juga dinasihatkan mengelak mengunjungi kawasan yang sesak dengan orang ramai.
Tambahnya, pengunjung ke India terutama kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit-penyakit kronik seperti penyakit kronik paru-paru, jantung, buah pinggang dan pesakit yang mengalami immune-suppression digalakkan mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim yang turut meliputi influenza A(H1N1) yang berada dalam pasaran.
“Vaksin ini boleh diperolehi di fasiliti kesihatan swasta. Sekiranya terdapat gejala penyakit seperti demam, selsema, sakit tekak dan batuk adalah dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran,” katanya.
– MYNEWSHUB.CC

