SELEPAS meraih populariti menerusi lagu Bawaku Pergi, Infiniti Cinta dan Terpulanglah, Kaka Azraff kembali dengan single pertama pada tahun 2015 dengan lagu Bukan Hal Aku hasil kolaborasinya bersama kumpulan Sleeq.
Bukan Hal Aku adalah single yang dinanti-nantikan oleh Kaka kerana genre lagu tersebut yang berkonsepkan Hip-Hop dan R&B.
Lagu yang diilhamkan sepenuhnya oleh The GoodFellas itu menonjolkan kekuatan seorang wanita yang meneruskan perjalanan kehidupannya walaupun dipenuhi pelbagai halangan.
Menurut penyanyi berusia 26 tahun itu, sememangnya genre sebegini yang dia mahu tonjolkan kerana jiwanya yang meminati Hip-Hop dari dulu lagi.
Menyatakan dia merupakan peminat setia kumpulan Hip-Hop tanah air Too Phat, gandingannya bersama Sleeq bukanlah satu masalah kerana mereka pernah bekerjasama sebelum ini.
“Ini bukan kali pertama Kaka bekerjasama dengan Sleeq, sebelum ini menerusi lagu Perjalanan Kaka berduet dengan Sleeq untuk album mereka tiga tahun lalu,” kata Kaka ketika ditemui di majlis pelancaran lagu terbarunya itu di ibu Pejabat Warner Music, semalam.
– MYNEWSHUB.CC