PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani membuat persediaan rapi bagi membolehkan sektor pertanian menghadapi musim panas walaupun keadaannya dilaporkan tidak membimbangkan, kata menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Kita pernah melalui musim panas sebelum ini, cuma bezanya pada 2014 kita mengalami cuaca panas tanpa hujan. Namun, tahun ini walaupun panas, tapi hujan masih turun,” katanya kepada media selepas merasmikan Seminar Agropelancongan 2015 di sini, hari ini.
Beliau berkata pada masa ini, pengairan kawasan sawah kendalian Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) masih terkawal kerana mempunyai tali air mencukupi.
“Bagi kawasan di luar MADA dan KADA, kita juga bersedia lebih awal dengan menyediakan 25 unit ‘tube well’ (penyedut air bawah tanah) di seluruh negara dengan kos RM3.35 juta dan 450 buah ‘backward pump’ diberikan kepada pesawah di Kelantan,” katanya.
Ismail Sabri berkata industri perikanan terutamanya di Pahang turut menerima kesan daripada cuaca panas dengan penurunan paras air sungai.
“Kita nasihatkan mereka untuk menjual ikan-ikan yang sudah besar manakala anak-anak ikan yang mati akibat cuaca panas akan digantikan pihak kementerian selepas keadaan pulih seperti biasa,” katanya. – BERNAMA