MARANG – Kerajaan negeri Terengganu akan memperluaskan kursus pengurusan bencana peringkat komuniti kepada kesemua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri ini supaya lebih bersedia menghadapi bencana alam pada masa akan datang.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Osman Muda berkata usaha itu bagi memberi pendedahan dan meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kecekapan pemimpin komuniti setempat dalam pengurusan sesuatu bencana.
Katanya kursus ini juga merangkumi persediaan sebelum, semasa dan selepas banjir supaya ia lebih konsisten dan sistematik.
“Saya percaya ini merupakan kursus pertama di Malaysia yang dianjurkan dan daerah Kemaman menjadi pelopor kepada kursus ini sebelum diperluaskan kepada daerah-daerah yang lain.
“Kursus tiga hari ini turut melibatkan lima agensi termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Polis Diraja Malaysia yang bertindak sebagai penceramah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan kursus di Akademi Bomba dan penyelamat di sini.
Jelas Osman, kursus yang melibatkan 40 peserta menekankan pemahaman mengenai prosedur operasi standard (SOP) bagi usaha menyelamat dan penempatan mangsa banjir kepada semua JKKK untuk memastikan tahap kesiapsiagaan di kawasan mereka bagi memberikan tindak balas lebih sistematik apabila bencana sama berulang.
Katanya ia juga selari dengan komitmen jentera pengurusan banjir di daerah ini yang disifatkannya mencapai piawaian emas dalam menangani bencana itu, sekali gus berjaya mengurangkan risiko berbanding tahun lalu.
Contoh dan modul sepanjang kursus ini akan diguna pakai secara menyeluruh pada peringkat komuniti jika ia bersesuaian, katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri juga mengalu-alukan mana-mana pihak serta negeri lain yang turut berminat menyertai kursus bencana berkenaan. – BERNAMA

