KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan tetap berdiri teguh disisi Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Ketuanya, Suhaizan Kayat berkata, DPPM memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap usaha Presiden PAS membentangkan rang undang-undang persendirian berkaitan hudud di Dewan Rakyat.
“Usaha ini adalah suatu usaha murni untuk memperkasakan pengamalan Islam terhadap penganutnya. Ia wajar dan wajib disokong oleh semua Ahli Parlimen beragama Islam dan ahli parlimen bukan Islam juga kalau boleh turut sama menyokong.
“Ia hanya satu pindaan yang mahukan hukuman yang berada di mahkamah syariah selari dengan apa yang terkandung dalam ajaran Islam sebenar. Ia sama sekali tidak menyentuh langsung hal ehwal bukan Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Hadi semalam menegaskan beliau akan tetap meneruskan hasrat membentangkan rang undang-undang persendirian berkaitan hudud di Dewan Rakyat.
Beliau dipetik berkata, keputusan itu muktamad dan partinya tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan termasuk daripada parti sekutu dalam Pakatan Rakyat, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Suhaizan seterusnya berkata, pembentangan rang undang-undang hudud itu perlu dilihat diluar konteks kepartian.
“Ia adalah hak dan tuntutan yang ada dalam Islam dan PAS hanya berusaha merealisasikannya selaras dengan tuntutan sebenar sahaja. Jesteru dokongan padu semua pihak perlu bagi menjayakan hasrat murni ini,” katanya. – mynewshub.cc

