DUESSELDORF, Jerman – Pembantu juruterbang Germanwings sebelum ini selalu meluahkan kebimbangan keadaan kesihatan akan menjejaskan cita-citanya dalam industri penerbangan, kata bekas teman wanitanya kepada sebuah akhbar Jerman.
Andreas Lubitz, 27, yang dipercayai menjunamkan pesawat ke pergunungan Alps Perancis dan membunuh semua 150 orang dalam pesawat itu, dikatakan berazam melakukan sesuatu untuk mengubah keadaan dan membuatkan semua orang ingat namanya.
Wanita berusia 26 tahun dikenali Maria W dalam temuramah dengan akhbar Bild berkata, Lubitz selalu memberitahunya: “Satu hari nanti saya akan lakukan sesuatu yang akan mengubah seluruh sistem dan semua orang akan tahu dan ingat nama saya.”
“Saya tak tahu apa maksudnya ketika itu, tetapi sekarang baru saya faham,” kata Maria.
Perakam suara penerbangan pesawat malang 4U 9525 menunjukkan Lubitz mengunci kapten di luar kokpit ketika dia sengaja menjunamkan pesawat itu ke pergunungan Alps Perancis, ketika Airbus A320 itu dalam penerbangan rutin dari Barcelona, Sepanyol ke Duesselforf.
Pemeriksaan pasukan penyiasat di rumah Lubitz mendapati dia selama ini menyembunyikan penyakit kemurungan melampau yang dialami malah membuang berpuluh surat cuti sakit yang diberikan doktor termasuk pada hari nahas, Selasa lalu.
Sementara itu, pihak berkuasa sudah mengeluarkan nama kapten pesawat malang itu iaitu Patrick Sonderheimer.
Sonderheimer mula berkhidmat dengan Germanwings pada Mei 2014, tetapi sebelum itu berkhidmat dengan syarikat induk, Lufthansa dan satu lagi anak syarikatnya Condor selama lebih 10 tahun. Beliau mempunyai rekod penerbangan selama lebih 6,000 jam.
Kedua-dua juruterbang, Sonderheimer dan Andreas Lubitz, dilatih di pusat latihan penerbangan Lufthansa di Bremen, Jerman. – AFP

