BANGI – Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha berharap setiap negeri akan mengikut jejak langkah Perak mewartakan fatwa berkaitan kumpulan militan Islamic State (IS).
Beliau berkata pewartaan fatwa itu akan membolehkan setiap negeri melaksanakan penguatkuasaan terhadap aktiviti berkaitan kumpulan militan berkenaan.
“Fatwa itu dihasilkan selepas persidangan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan (Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia) Ke-106 pada tahun lepas berkaitan isu umat Islam Malaysia yang berjuang atas nama IS.
“Sama ada negeri akan menerima sepenuhnya (fatwa itu) atau membuat kajian baharu untuk menambah maklumat, negeri akan mewartakan,” katanya selepas melancarkan kempen ‘Mahasiswa Menolak Keganasan’ sempena Konvensyen Pemimpin Islam Nasional, di sini, hari ini.
Dua hari lepas, Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria dilaporkan sebagai berkata Perak bakal mewartakan fatwa berkaitan IS kerana ia bukan daripada perjuangan Islam tetapi sekumpulan penjenayah yang mungkin hanya menggunakan nama Islam untuk mencari pengaruh bagi menegakkan kumpulan itu.
Mengulas mengenai pengaruh IS terhadap mahasiswa, Othman berkata Jakim akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan untuk mendekati pelajar yang disyaki terpengaruh dengan ideologi IS di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.
“Kegagalan dalam pelajaran atau kecewa dalam hidup dan percintaan mungkin boleh mendorong mereka ke arah itu. Bagaimanapun buat masa ini, kita belum dapat maklumat daripada agensi penguatkuasaan mengenai penglibatan mahasiswa.
“Jika kita dapat maklumat ada (mahasiswa) yang terpengaruh, kita akan cuba mendekati mereka antaranya melalui kaunseling untuk mengetahui masalah mereka,” katanya.
Tambahnya, Jakim akan turut memberi penerangan di setiap IPT melalui kempen ‘Mahasiswa Menolak Keganasan’ supaya mereka tidak terpengaruh dengan istilah ‘jihad’ yang disalah ertikan yang disampaikan melalui media sosial.
Dalam pada itu, Othman berkata penerangan kepada orang ramai akan turut diperluaskan antaranya melalui khutbah Jumaat sekurang-kurangnya sekali sebulan. – BERNAMA