KUALA LUMPUR – Pengacara dan penyampai radio, Faizal Ismail (FBI) bersetuju untuk mendermakan organnya selepas meninggal dunia.
Seorang lagi selebriti mengambil keputusan itu ialah Juara Imam Muda Musim Pertama, Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mengalu-alukan ikrar yang dibuat dua selebriti tersebut.
“Saya menghargai sumbangan dan sokongan selebriti tanahair terhadap kempen derma organ Kementerian Kesihatan.
“Saya berharap agar lebih ramai akan tampil ke hadapan secara sukarela bagi membantu pesakit yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Noor Hisham berkata, ikrar untuk menderma organ yang dibuat FBI dan Muhammad Asyraf memberi harapan kepada lebih 19,000 pesakit yang memerlukan.
Beliau bagaimanapun menasihatkan mereka yang berikrar memberitahu ahli keluarga terlebih dahulu.
Ia kerana hanya ahli keluarga berhak memberi kebenaran untuk menderma organ si mati berdasarkan peruntukan Akta Tisu Manusia 1974.
“Fatwa Kebangsaan yang dikeluarkan pada tahun 1970 telah mengharuskan pendermaan organ,” katanya.
Maklumat lanjut atau pertanyaan mengenai derma organ boleh didapati di www.dermaorgan.gov.my atau www.facebook.com/dermaorgan.
– MYNEWSHUB.cc