TANPA disedari, tidak ramai tahu Pelan Pemulihan MAS (MRP) yang mengandungi 12 perkara utama berjalan lancar ikut jadual, malah banyak kejayaan besar dicapai biarpun kurang publisiti di media massa.
Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), sayap pelaburan kerajaan Malaysia kini rancak memuktamadkan banyak isu rumit MAS sebelum ini menerusi MRP yang diumumkan akhir Ogos tahun lalu.
Antara yang dapat perhatian ialah kejayaan kerajaan menggubal Akta MAS di kedua-dua dewan Parlimen Malaysia awal Disember tahun lalu dan mula berkuatkuasa 20 Februari lepas, sekali gus menutup kisah ‘buku lama’ syarikat penerbangan kebangsaan kita.
Mungkin tidak ramai tahu, sebaik MAS yang lama tiada, maka ‘buku baharu’ dibuka bagi ganti sebelum itu atau disebut juga MAS NewCo dan syarikat baharu yang masih kekal bernama MAS sebenarnya telah pun rasmi ditubuhkan 7 November tahun lalu.
Ini memastikan peralihan berjalan lancar dan Khazanah dengan dana RM6 bilion untuk MRP selama 5 tahun itu turut berjaya selesaikan isu pemegang saham minoriti, sekali gus dapat menyahsenarai MAS lama daripada Bursa Malaysia pada 31 Disember tahun lalu.
Meskipun agak remeh, ramai tidak sedar proses pemulihan MAS yang bakal berwajah baharu sepenuhnya 1 Julai depan kini bergerak pantas, malah Khazanah ‘mengejutkan’ industri penerbangan global dengan melantik Christoph Mueller sebagai CEO MAS NewCo.
Ini amat tepat berdasarkan kejayaan beliau waktu menjadi CEO Aer Lingus, syarikat udara nasional Ireland yang ditubuhkan sejak 1936 itu pernah mengalami situasi jauh lebih teruk daripada MAS sebelum kembali gah sebagai operator penerbangan terbaik di Eropah.
Khazanah memastikan MRP kali ini lebih terperinci termasuk isu nasib 6,000 pekerja MAS yang akan diberhentikan turut ‘dibela’ menerusi pewujudan Pusat Pembangunan Korporat (CDC) secara bersepadu di KLIA Sepang mulai 1 April ini.
Kira-kira 20,000 petugas termasuk 500 pegawai kanan MAS melalui proses saringan berakhir 2 Februari lalu bagi memilih 14,000 staf perintis MAS NewCo manakala yang gagal, masih berpeluang menyertai syarikat lain seperti AirAsia yang sedia serap mereka.
CDC berperanan memastikan skim pemberhentian pekerja MAS tidak menjejaskan kehidupan seharian staf terbabit menerusi pelbagai program latihan kerjaya serta penilaian pampasan sewajarnya berdasarkan rekod pengalaman, disiplin, kelayakan dan sebagainya.
Segala-gala tampak berjalan lancar waima di sebalik dua tragedi terburuk dalam sejarah yang menimpa MAS menerusi MH370 dan MH17, tidak ramai sedar MAS mula mengorak langkah, bahkan ada kala lebih baik daripada beberapa syarikat penerbangan terkenal.
Malangnya, tanpa ‘ribut angin kencang’, tiba-tiba muncul cerita tidak ‘enak’ didengar apabila Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) berhasrat buat piket bantahan pengurangan 6,000 petugas MAS di bawah MRP berkenaan.
Khabarnya, kesatuan yang mewakili hanya 3,500 pekerja MAS itu mengancam mahu melakukan protes tersebut ketika Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 2015) yang sedang berlangsung sehingga akhir minggu ini.
Tidak pasti apakah motif tersirat NUFAM cuba cetus suasana tidak harmoni kononnya mahu bela nasib 6,000 pekerja yang akan ditamatkan perkhidmatan, tetapi tidak pula hirau kebajikan baki 14,000 pekerja MAS yang masih berkhidmat.
Jika benar mereka prihatin jaga masa depan MAS, adalah lebih baik NUFAM yang sering dilihat tidak senada dengan majikan mereka, bukan pula jadi hero kampung menerusi cara negatif; sekali pun memang tidak setuju dalam banyak hal sensitif tertentu.
Ini bukan cerita baru, malah jika diperhatikan NUFAM sering lawan ‘arus’ dengan pengurusan MAS sejak sekian lama di samping Kesatuan Pekerja Malaysian Airlines (MASEU) yang mula ‘main’ kasar konon MRP oleh Khazanah menzalimi 6,000 pekerja itu.
Padahal Khazanah sudah mengadakan 33 sesi turun padang bertemu kakitangan MAS sejak 14 Ogos tahun lalu bagi memberi perkembangan terkini berkenaan MRP termasuk kepentingan 6,000 pekerja yang tidak terpilih menyertai MAS NewCo mulai 1 Julai depan.
Pelbagai perbincangan diadakan dengan wakil kesatuan termasuk MASEU, tetapi anehnya NUFAM tiada dalam senarai; kerana rupa-rupanya tidak diiktiraf MAS meskipun berdaftar dengan Kementerian Sumber Manusia; sekali gus cetus banyak tanda tanya.
Barang kali adalah lucu NUFAM pula berlebih-lebihan; senada MASEU yang selama ini vokal agresif; hanya kerana kononnya mahu juarai 6,000 pekerja yang gagal memasuki MAS versi 2.0, walhal pelbagai skim kerjaya baharu disusun rapi Khazanah untuk mereka.
Sekadar rekod, segala perkembangan terkini berkaitan proses rasionalisasi jumlah staf MAS NewCo sentiasa dimaklumkan telus melalui pelbagai saluran inisiatif dialog dengan kesatuan, hebahan intranet, notis pekeliling, media sosial, waima buletin edaran dalaman.
Alasan NUFAM kononnya mereka tiada pilihan serta terpaksa berpiket selepas beberapa kali cuba mengadakan pertemuan dengan pihak Khazanah dan MAS juga boleh diragui seolah-olah mahu menunjukkan sayap pelaburan kerajaan itu tidak ada budi bicara timbang rasa.
Apakah NUFAM selain MASEU sengaja cari publisiti murahan atau mereka ada niat lain yang enggan didedahkan kepada umum, namun hakikatnya kesatuan itu patut berasa ‘malu’ dalam membuat pelbagai tuntutan kepada pihak pengurusan MAS NewCo.
Bayangkanlah jika NUFAM dan MASEU masih berterusan ‘menekan’ Khazanah atas isu kecil yang boleh diselesaikan, kedua-dua kesatuan itu selepas ini pasti akan dipandang negatif oleh rakyat Malaysia sebagai cuba ‘sabotaj’ syarikat penerbangan negara sendiri.
