SERI ISKANDAR – Remaja Orang Asli berusia 13 tahun ditemui lemas dalam sebuah lombong di Jalan Bandar Universiti, di sini, 7.40 malam tadi.
Lebih menyayat hati, mayat mangsa ditemui oleh bapanya sendiri yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dijalankan sejurus selepas mangsa dilaporkan hilang ketika mandi di lombong berkenaan.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kehilangan mangsa pada jam 5.33 petang dan operasi mencari dijalankan di kawasan lombong yang mempunyai kedalaman kira-kira lima meter itu.
“Mangsa dikenali sebagai Hafizul Ziman dan dipercayai lemas sejurus selepas terjun ke dalam lombong berkenaan untuk mandi.
“Operasi mencari mangsa di kawasan permukaan air dijalankan dengan bantuan agensi keselamatan lain, penduduk kampung serta bapa mangsa dan pada 7.40 malam tadi, mayat mangsa akhirnya ditemui oleh bapanya sendiri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, susulan penemuan itu operasi mencari mangsa yang diketuai Penolong Penguasa Bomba Zaiful Affendi Ahmad ditamatkan pada 8.16 malam. – myMetro Online

