KUALA LUMPUR – Tinggal kira-kira dua minggu sahaja lagi sebelum pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan soalan yang bermain-main di kepala banyak pihak adalah sama ada rakyat Malaysia sudah bersedia untuk menghadapinya.
Menurut kebanyakan persatuan pengguna, jawapannya ialah “tidak”. Bagi mereka, rata-rata pengguna masih belum pasti bagaimana cukai kepenggunaan itu akan dilaksanakan.
Malahan, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa sikap tidak berhati perut sesetengah peniaga menyebabkan pengguna menjadi sangsi terhadap pelaksanaan GST.
Ada juga peniaga yang dilaporkan sudah menaikkan harga dengan mengenakan GST sebanyak enam peratus meskipun ia akan hanya dilaksanakan pada 1 April ini.
Tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab ini jelas mencetuskan kekeliruan di kalangan pengguna.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata amalan yang tidak beretika itu juga menyebabkan pengguna menjadi bimbang dengan penguatkuasaan GST.
Nadzim turut mendakwa antara perniagaan yang sudah mengenakan GST ialah pemaju perumahan dan pengusaha makanan serta minuman.
“Kami banyak menerima aduan daripada pengguna mengenai perkara ini. Tindakan mereka itu bukan sahaja menakutkan pengguna tetapi juga memberi imej buruk kepada sistem percukaian baharu itu,” beliau memberitahu Bernama baru-baru ini.
Menurut Mohd Yusof Abdul Rahman, Timbalan Presiden, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), kebanyakan pengguna masih belum jelas apakah kelebihan GST di sebalik usaha kerajaan menjelajah ke seluruh negara membuat taklimat untuk menjelaskan sistem percukaian baharu itu.
Bagi beliau, pengguna menjadi keliru akibat terlalu banyak pihak bercakap mengenai GST.
“Meskipun banyak program kesedaran mengenai GST dibuat, orang ramai masih ragu-ragu tentang cukai baharu itu mungkin kerana menerima banyak sangat maklumat mengenainya daripada sumber bukan rasmi daripada yang rasmi,” katanya.
Sementara itu, N,V. Subbarow, pegawai pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), mendakwa pengguna masih belum bersedia untuk GST kerana banyak ketidaktentuan mengenai GST.
“Mereka masih tidak pasti barang yang akan dicukai. Dalam masa sama, ada pihak yang menyebarkan khabar angin tentang kesan GST ke atas mereka. Keadaan ini menjadikan mereka semakin keliru.
“Bagi saya rakyat Malaysia secara umumnya masih belum jelas mengenai GST,” katanya.
GST pada kadar tetap enam peratus akan menggantikan kadar lima hingga 10 peratus Cukai Jualan dan enam peratus Cukai Perkhidmatan (SST), yang apabila digabungkan mencecah sehingga 16 peratus.
Di bawah SST, cukai yang dikenakan ke atas barangan pembuatan tidak dinyatakan di resit jualan. Ini membuatkan pengguna tidak sedar akan kos yang tersembunyi.
Mengikut laporan, di bawah pelaksanaan GST, pengguna boleh menjangkakan harga lebih rendah untuk kebanyakan barangan dan perkhidmatan berbanding di bawah SST.
GST telah dilaksanakan di 160 negara dan kadar yang akan dikenakan di Malaysia iaitu enam peratus adalah paling rendah di dunia berbanding tujuh peratus di Singapura dan 10 peratus di Indonesia, Filipina, Thailand, Kampuchea, Laos dan Vietnam.
Dengan pelaksanaan GST, kerajaan dijangka memperoleh hasil sebanyak RM32 bilion pada tahun 2016.
Dalam pada itu, Nadzim menyelar tindakan sesetengah syarikat yang meletakkan iklan menggesa pengguna membeli barangan mereka sebelum pelaksanaan GST pada 1 April.
Beliau merujuk beberapa iklan berbunyi ‘Belilah Sebelum April’ dan ‘Belilah sebelum GST’ yang disifatkannya sebagai mengelirukan dan dibuat untuk mengaut keuntungan.
Pada hakikatnya, harga barangan tertentu terutamanya perabot sepatutnya turun selepas pelaksanaan GST.
“Pada masa ini, kita membayar SST 10 peratus ditambah enam peratus tetapi selepas 1 April, kita akan hanya membayar enam peratus. Kebanyakan industri pula boleh menuntut semula cukai input yang dibayar.
“Tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah syarikat menyebabkan ada pengguna yang menjadi cemas sehingga bertindak membeli sesetengah barangan sebelum tiba 1 April,” katanya.
Bernama yang turut membuat tinjauan mendapati kebanyakan orang yang diminta pandangan tahu tentang GST tetapi tidak pasti apa faedahnya untuk mereka.
Bagi Kenneth Lee Tze Wui, 30, pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi swasta tempatan, sistem percukaian baru itu akan hanya difahami selepas ia dilaksanakan.
“Apa yang kita tahu GST akan dilaksanakan meskipun saya belum bersedia. Kesan pun kita tak nampak lagi,” katanya.
Vishnudharan Gopal, 26, berkata beliau bimbang GST akan menimbulkan kesulitan bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
“Ramai yang tinggal di kawasan bandar berada di bawah paras kemiskinan dan kerajaan seharusnya tidak menyusahkan mereka lagi,” katanya, yang juga eksekutif media sosial dan perhubungan awam.
Suri rumah, S. Thevaki, 45, berkata dia sudah bersedia untuk menghadapi sistem percukaian berkenaan dan berharap harga ayam, ikan dan sayur akan turun.
Sementara itu, Datuk Subromaniam Tholasy, Pengarah GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia, berkata pengguna tidak perlu sangsi dengan GST kerana sistem percukaian baharu itu telus dan akan memberi manfaat kepada mereka pada jangka masa panjang.
“Mereka seharusnya faham bahawa mereka telah membayar SST sejak 43 tahun lalu cuma tak sedar. Apa yang akan berlaku hanya perubahan dalam sistem cukai daripada sistem yang sudah lapuk kepada sistem lebih moden, telus dan berkesan yang akan menghalang peniaga daripada amalan perniagaan tidak beretika.
“Berkuatkuasa 1 April, peniaga mesti menghapuskan komponen cukai jualan. Saya faham harga beberapa barang akan naik tetapi ada juga yang lain akan turun. Ada yang harganya tidak berubah.
“Bagaimanapun, kesan keseluruhan hanya satu peratus kenaikan harga,” beliau memberitahu Bernama.
Katanya kerajaan akan menggunakan Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 untuk memastikan peniaga tidak menaikkan harga barangan dengan sewenang-wenangnya sebaik sahaja GST dilaksanakan.
“Apabila harga bahan bakar turun, orang ramai merungut harga barang tidak turun… satu daripada sebabnya ini berlaku kerana kita belum mempunyai sistem cukai yang telus,” katanya.
Apabila GST dilaksanakan, katanya kerajaan boleh mengesan perubahan dalam struktur kos rangkaian bekalan dan mengambil tindakan ke atas peniaga yang tidak bertanggungjawab.
“Tetapi perkara ini tidak berlaku semalaman,” katanya sambil menggesa persatuan pengguna mendidik masyarakat pengguna yang masih keliru tentang GST.
Kata Subromaniam, pihaknya sedang sibuk membuat persiapan terakhir untuk memastikan penguatkuasaan GST berjalan lancar.
“Pada dasarnya kami telah bersedia untuk melaksanakan GST pada 1 April. Sekarang ini kami sedang menangani beberapa perkara teknikal kerana peniaga perlu mengetahui kesan ke atas perkara tertentu untuk menjadikan mereka bersedia sepenuhnya,” katanya.
Beliau turut memberitahu pihaknya merancang mengadakan lebih banyak sesi latihan dan bimbingan untuk syarikat perniagaan bagi membantu mereka menghadapi GST. – BERNAMA

