BALIK PULAU – Selama lima tahun bercinta sejak dari bangku sekolah, seorang penuntut kolej di Pahang dan pasangannya teruja apabila detik perkahwinan mereka diraikan bersama 17 pasangan lain dalam ‘Majlis Walimatul Urus Perdana’, di sini hari ini.
Muhammad Aiman Akbar, 21, tidak merancang menyunting pasangannya Nor Masitah Morat, 21, sebelum tamat pengajian namun dorongan dan restu keluarga masing-masing menyebabkan pasangan itu menyertai program yang julung kali diadakan di Pulau Pinang ini.
“Dalam masa lebih kurang sebulan lebih sahaja kami dan keluarga membuat persediaan untuk majlis ini. Kami terus nikah tanpa bertunang terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita.
Kedua-duanya yang belajar di kelas yang sama semasa Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 di Sekolah Menengah Kebangsaan St.George, Balik Pulau menjadi pasangan termuda dalam acara perkahwinan beramai-ramai itu.
Terdahulu, pasangan mempelai diarak dengan bas pelancongan dua tingkat ‘Hop On Hop Off’ dari Masjid Daerah Barat Daya ke Kompleks Sukan Balik Pulau diiringi 30 motosikal berkuasa tinggi dan paluan kompang.
Turut diraikan dalam majlis berkenaan adalah wartawan Berita Harian, Norhidayah Che Din, 28, dan pasangnya Mohd Hafiz Azizan, 29.
Hidayah berkata, beliau dan pasangnya sememangnya berhasrat untuk melangsungkan perkahwinan pada tarikh berkenaan dan kebetulan majlis berkenaan turut berlangsung pada hari yang sama.
“Semuanya secara kebetulan dan perasaan saya bercampur baur gembira serta gementar apabila diraikan dalam majlis yang meriah serta istimewa begini,” katanya.
Sementara itu, pengarah program, Mohd Tuah Ismail, berkata majlis berkenaan dianjurkan bertujuan mempermudahkan urusan perkahwinan terutama dalam kalangan pasangan muda tanpa perlu berbelanja besar.
Katanya, setiap pasangan boleh menjemput sehingga 300 tetamu dan hanya perlu mengeluarkan belanja sebanyak RM1,000 sebagai bayaran penyertaan dengan penyediaan makanan, perkhidmatan jurunikah, kad undangan dan cenderahati disediakan penganjur. – BERNAMA