KOTA KINABALU – Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan mengaktifkan Bilik Gerakan Tarif bagi memudahkan pengguna mendapatkan maklumat berhubung pelarasan tarif elektrik baharu mulai 2 hingga 31 Mac ini.
SESB, dalam kenyataan hari ini, berkata bilik gerakan berkenaan ditempatkan di tingkat bawah Wisma SESB di sini, dan akan beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat mulai pukul 8.30 pagi hingga 5 petang.
Pengguna juga boleh membuat panggilan di talian 088-282667 atau 088-224312 bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan pelarasan tarif elektrik.
“Selain itu, pengguna boleh menghantar faks kepada SESB di talian 088-282451 atau e-mel terus kepada [email protected],” menurut kenyataan itu.
Baru-baru ini Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mengumumkan pelarasan tarif elektrik baharu bagi Sabah dan Labuan akan berkuatkuasa mulai 1 Mac hingga 30 Jun.
Pelarasan sebanyak 3.5 peratus ini akan dinikmati semua kategori pengguna kecuali pengguna domestik yang penggunaan elektriknya 300kWh ke bawah.
Pengiraan pelarasan tarif elektrik baharu ini juga boleh didapati di laman sesawang rasmi SESB di www.sesb.com.my. – BERNAMA

