ISKANDARIAH – Tiga orang awam cedera dengan seorang daripada mereka meninggal dunia selepas itu apabila sebutir bom meletup di pinggir bandar raya ini, kata polis.
Seorang budak lelaki berumur 12 tahun merupakan antara yang cedera dalam letupan itu yang berlaku dekat dengan sebuah kawasan perumahan.
“Bom itu disasarkan terhadap sebuah pos pemeriksaan yang telah dialihkan apabila letupan berlaku,†kata polis.
Terdahulu, sebuah bom kecil yang disembunyikan di dalam sebuah transformer elektrik meletup di pusat bandar raya Kaherah tanpa menyebabkan kematian.
Letupan berlaku di sebatang jalan dekat Dataran Tahrir yang menjadi pusat kebangkitan rakyat menentang Presiden Hosni Mubarak pada 2011.
Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab berhubung dua letupan tersebut.
“Dua bom turut dimatikan berhampiran sebuah kawasan letak kereta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah,†kata beberapa pegawai keselamatan.
Sebutir bom itu ditemui dalam sebuah beg hadiah di luar Terminal 3 manakala bom kedua diletakkan di bawah sebuah kereta polis.
Siri serangan terbaharu itu berlaku selepas berpuluh-puluh anggota polis dan tentera maut dalam serangan kumpulan militan terutamanya di Semenanjung Sinai.
Kumpulan-kumpulan militan termasuk yang menyokong Islamic State (IS) meningkatkan serangan sejak tentera Mesir menggulingkan Presiden Mohammed Morsi pada 2013.
Kumpulan berkenaan menyatakan serangan dilakukan untuk membalas dendam tindakan keras pihak berkuasa terhadap penyokong Morsi. – Reuters

