KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen pembangkang mengkritik kenyataan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh bahawa pendidikan tinggi negara kini setaraf dengan di negara maju termasuk United Kingdom, Jerman dan Australia.
Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng mendakwa, kenyataan itu menunjukkan Idris sekadar syok sendiri dan sukar diterima oleh orang ramai hingga menjadi bahan tawa ramai pihak.
“Sukar bagi saya untuk mempercayai percakapan Idris. Beliau tidak mempunyai pilihan kecuali meminta maaf serta menarik balik kenyataannya itu,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Serdang, Dr. Ong Kian Ming pula mendakwa, kenyataan Idris itu satu penghinaan kepada jawatan Menteri Pendidikan kerana menjadi bahan tawa orang ramai.
Dakwa beliau, pelajar asing membuat keputusan belajar di luar negara bergantung kepada beberapa faktor termasuk kos program, kos sara hidup, program yang ditawarkan, bahasa pengantar, mudah mendapatkan visa pelajar dan tawaran biasiswa.
Justeru, beliau mencabar Idris menyenaraikan pelajar yang menolak tawaran ke Universiti Cambridge atau Oxford untuk menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) negara ini.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar pula menganggap Idris membuat kenyataan itu berasaskan ilusi kerana cuma berdasarkan bilangan pelajar asing yang mengikuti pengajian di IPT di Malaysia.
“Kenyataan ini amat naif; kewujudan pelajar asing di Malaysia secara automatik menobatkan pendidikan negara hebat di mata dunia.
“Logik sebegini memperlihatkan jua Malaysia selaku negara maju kerana ramai pekerja asing yang datang mahu bekerja di Malaysia,” dakwanya.
Idris semalam menerangkan pendidikan tinggi negara kini setaraf dengan di negara maju termasuk United Kingdom, Jerman dan Australia dari segi kualiti pendidikan.
Hal itu dibuktikan dengan terdapat lebih 135,000 pelajar asing sedang mengikuti pengajian di beberapa buah universiti tempatan yang meliputi 10 peratus daripada jumlah pelajar yang berada di pusat-pusat pengajian tinggi di negara ini.
Menurutnya, dengan perkembangan itu, Malaysia kini menduduki tempat ke-9 daripada 30,000 universiti di seluruh dunia yang menjadi tarikan pelajar asing untuk datang belajar dalam pelbagai bidang pengajian terutamanya dalam bidang Sains Persekitaran, Kejuruteraan, Pertanian dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).