BESUT – Pelancong dari dalam dan luar negara sudah mula berkunjung ke beberapa pulau peranginan di Terengganu walaupun kawasan berkenaan hanya kembali beroperasi secara rasmi, 1 Mac depan.
Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Terengganu Mohd Sabri Zakaria berkata terdapat beberapa chalet dan resort di Pulau Perhentian dan Redang, misalnya, telah mula beroperasi sejak awal Februari lepas.
Beliau berkata sempena cuti Tahun Baharu Cina minggu depan, pelancong juga sudah mula membuat tempahan untuk melawat pulau-pulau berkenaan.
“Ada pelancong terutama pengembara dari negara luar memilih untuk bercuti di pulau peranginan di Terengganu walaupun ia belum dibuka secara rasmi.
“Bagaimanapun, kesemua resort dan chalet berkenaan belum beroperasi sepenuhnya dan ia dibuka secara berperingkat mengikut tempahan yang diterima dan bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya kepada Bernama di sini.
Majoriti hotel, resort dan chalet di negeri ini, menghentikan operasi mereka sejak 15 Okt tahun lepas berikutan musim tengkujuh.
Mohd Sabri berkata kebanyakan pulau peranginan di Terengganu hanya menerima pelancong yang telah membuat tempahan dan setakat ini, pelancong yang mengembara sendiri hanya boleh berbuat demikian di Pulau Perhentian.
“Seperti Pulau Redang, pelancong mula masuk ke pulau itu jika sudah membuat tempahan daripada agensi pelancongan dan aktiviti di air hanya bermula pada Mac ini,” katanya.
Pada masa ini, kebanyakan resort sudah mula membuat pelbagai persiapan bagi menyambut kedatangan pelancong termasuk dari segi penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan di premis mereka. – BERNAMA
Video: Mat Saleh Dari England Fasih Bercakap Loghat Terengganu “Mat Dan”
https://www.youtube.com/watch?v=KyyBhaAD_Ro