PUTRAJAYA – Malaysia akan melihat model pengurusan bencana di negara-negara yang kerap menghadapi malapetaka seperti Filipina, Indonesia, Jepun, Korea dan Amerika Syarikat serta bekerjasama dengan bahagian pengurusan bencana Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi merangka model pengurusan bencana yang lebih baik untuk masa depan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketika menyatakan perkara itu hari ini, Timbalan Perdana Menteri juga berkata kajian menyeluruh mengenai status Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kewajaran sebuah agensi atau jabatan tertentu dibentuk untuk pengurusan bencana di negara ini perlu diadakan.
“Mesyuarat khas akan diadakan nanti untuk bincangkan SOP (prosedur operasi standard) yang kita guna pakai selama ini. Apakah penambahbaikan perlu diadakan dalam menangani bencana pada masa-masa akan datang,” katanya.
Muhyiddin, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kedua Pelan Tindakan Pasca Banjir di Bangunan Perdana Putra di sini.
Katanya mesyuarat hari ini mendengar pembentangan mengenai penubuhan Unit Pemulihan Pasca Banjir yang menangani semua aspek pemulihan banjir termasuk pembinaan rumah baharu, pembaikan rumah-rumah yang rosak, infrastruktur dan soal berkaitan pemulihan kemudahan sosial serta ekonomi mangsa-mangsa banjir.
Menurut Muhyiddin, kerajaan memutuskan untuk memberi bantuan RM5,000 hingga RM10,000 setiap rumah bagi pembaikan rumah yang rosak.
Bagi rumah yang sudah disahkan keadaan kerosakannya, kerja-kerja pembaikan boleh dilaksanakan dan lantikan kontraktor boleh dibuat oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah tidak lewat daripada bulan April yang akan datang.
“Lantikan kontraktor boleh dibuat dengan seberapa ramai kontraktor yang layak supaya kerja-kerja dapat dilaksanakan dengan seberapa cepat yang boleh, katanya.
Mengenai rumah yang musnah 100 peratus, Timbalan Perdana Menteri berkata bilangannya melibatkan 2,090 unit dan sebahagian daripada pemilik rumah itu tidak menghadapi masalah kerana tapak tanah sudah sedia ada.
Katanya lebih 1,000 buah rumah menghadapi masalah ketiadaan tanah atau tanah bukan milik mangsa banjir.
“Jadi kita telah minta kerjasama kerajaan negeri untuk menyediakan tapak-tapak (bagi pembinaan rumah). Saya dimaklumkan oleh Menteri Besar Kelantan ada 20 hektar tanah yang akan disediakan untuk penempatan mangsa-mangsa banjir,” katanya.
Mengenai pengagihan wang ihsan, Muhyiddin memaklumkan kira-kira 33,000 mangsa banjir sudah menerimanya manakala baki 77,000 akan menerima bantuan berkenaan selewat-lewatnya minggu pertama Mac.
“Keseluruhannya lebih RM50 juta disediakan dan baki RM30 juta adalah untuk membayar lebih 70,000 isi rumah atau keluarga yang belum dapat bantuan RM500,” kata Muhyiddin.
Untuk menjamin mangsa banjir dapat menampung hidup masing-masing, beliau berkata unit khas yang dibentuk akan menyelaras dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan beberapa agensi-agensi bantuan seperti Amanah Ikhtiar Malaysia, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) dan SME Bank.
Muhyiddin berkata mangsa banjir yang memerlukan bentuk bantuan sama ada pemberian geran pinjaman tanpa faedah dan sebagainya boleh berurusan dengan unit khas yang ditubuhkan itu.
“Unit berkenaan akan mengemukakan permohonan berkenaan kepada agensi-agensi bantuan kewangan supaya mangsa-mangsa banjir boleh memulakan perniagaan segera,” katanya.
Muhyiddin turut berkata empat contoh-contoh baik yang dilaksanakan di pejabat daerah Kemaman dalam pengurusan banjir baru-baru ini akan disebar luas untuk lain-lain kawasan yang berisiko terlibat dengan banjir. – BERNAMA