MELAKA – Slogan berbunyi ‘Don’t Mess With Melaka’ apabila diucapkan terasa bagaikan suatu amaran tegas yang mungkin berbunyi agak keras kepada sesetengah pihak.
Bagaimanapun apa yang kurang difahami masyarakat sekarang, slogan berbunyi amaran tegas seperti ini amat diperlukan bagi mendidik masyarakat supaya lebih berdisiplin.
Slogan ‘Don’t Mess With Melaka’ adalah satu kempen kebersihan yang bertujuan mendisiplinkan masyarakat agar menjaga kebersihan bila berada di Melaka yang terkenal sebagai negeri pelancongan.
Mengapa perlu amaran keras ? tidak boleh berlembut ? adalah soalan sering ditanya, namun soalan perlu ditanya semula sejauhmana keberkesanan kempen kebersihan yang punyai slogan lebih lembut seperti ‘Sayangi Persekitaran Kita’ atau ‘Jangan Buang Sampah’?.
Tidak keterlaluan apabila dikatakan setelah sekian lama kempen berslogan lembut ini dilaksanakan, masyarakat negara ini masih lagi suka membuang sampah merata-rata tempat maka suatu kempen lebih berkesan diperlukan bagi mengatasi masalah ini.
KEMPEN KEBERSIHAN BERKESAN
Kempen ‘Don’t Mess With Melaka’ dilancarkan pada tahun lepas selepas kerajaan negeri dimaklumkan oleh pihak berkuasa tempatan bahawa tahap kebersihan di negeri ini berkurangan sebanyak dua peratus.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata satu usaha di luar kotak atau di luar daripada kebiasaan perlu digarap kepada semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta dan orang ramai bagi memastikan semua pihak berada di bawah satu payung bersama-sama membanteras kekotoran.
Ini adalah bagi memperkenal sesuatu yang berbeza atau baharu dalam kempen menjaga kebersihan.
“Perlu ada satu ‘battle cry’ atau jeritan bagi kempen ini bagi memperlihat bahawa semua pihak serius dan tegas melaksanakan kempen menjaga kebersihan yang penting bagi negeri pelancongan seperti Melaka.
“Maka kita perkenal ‘Don’t Mess With Melaka’ sebagai slogan untuk memupuk budaya positif cintakan kebersihan dalam kalangan masyarakat,” katanya semasa temubual eksklusif dengan Bernama di sini.
Idris menjelaskan sebenarnya slogan ‘Don’t Mess With Melaka’ selain membawa makna ‘jangan kotorkan Melaka’ juga boleh ditafsirkan kepada pelbagai maksud lain yang mampu memberi kesan positif kepada negeri ini.
Slogan itu juga boleh diterjemah kepada ‘jangan main-main dengan Melaka’, ‘jangan pandang rendah dengan Melaka’ atau ‘jangan ganggu Melaka’.
Terjemahan maksud slogan ini bukan sahaja boleh menjurus kepada menjaga kebersihan, malah boleh membawa kepada maksud jangan berani buat jenayah di Melaka atau jangan sesuka hati ganggu rakyat Melaka.
MEMBUDAYAKAN RAKYAT
Selain memberi peringatan secara berhadapan, kempen ‘Don’t Mess With Melaka’ juga bertujuan memupuk budaya cintakan kebersihan di dalam diri setiap rakyat negeri ini.
“Melalui kempen ini kita mahu pada satu hari nanti rakyat Melaka lebih rela mengotorkan kocek sendiri daripada kotorkan alam sekitar, kalau ada sampah di tangan simpan dalam kocek bukan buang merata-rata.
“Kalau ada sampah banyak dalam kocek orang lain kenal itulah orang Melaka jadi itulah hasrat kita, inilah semangat yang perlu wujud supaya satu hari nanti Melaka menjadi amat selesa untuk didiami,” katanya.
Bagaimanapun Idris berpendapat, usaha memupuk budaya kebersihan itu bukan suatu usaha boleh dilakukan dalam sekelip mata, malah ia satu perjalanan yang amat panjang yang melibatkan usaha untuk mengubah diri setiap rakyat.
“Kalau orang Melaka sendiri keberatan menimba ilmu atau menerima benda baharu yang baik, maka sukar jugalah untuk mencapai Melaka yang benar-benar maju, itu sebab saya kata kesedaran perlu dari dalaman,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kempen ini memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak terutama daripada agensi kerajaan dan swasta serta orang ramai yang perlu menjiwai kempen ini.
SLOGAN CIPLAK
Mengenai dakwaan bahawa slogan itu diciplak daripada kempen ‘Don’t Mess With Texas’ Idris menjelaskan tuduhan menciplak sesuka hati itu sebenarnya tidak berasas sama sekali.
Beliau berkata ini kerana pihaknya telah berhubung dengan pihak berkuasa di Texas, Amerika Syarikat dan mendapat maklum balas yang cukup menggalakkan mengenai kempen ‘Don’t Mess With Melaka’.
“Mereka menyatakan alangkah baiknya jika satu dunia dapat amalkan kempen don’t mess ini di negara masing-masing supaya dapat satu dunia yang bersih dan menawan, ia sekali gus menggalakkan penduduk seluruh dunia bersifat amalkan kebersihan.
Kempen Don’t Mess With Texas dilancarkan pada tahun 1986 bertujuan mengurangkan masalah pembuangan sampah di kawasan jalan raya negeri itu dan dilaporkan kempen itu berjaya mengurangkan pembuangan sampah sehingga 72 peratus antara tahun 1986 hingga 1990.
Idris, yang melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan elektrik di University of Texas pada akhir 80-an, berkata beliau tertarik dengan kempen ‘Don’t Mess With Texas’ yang dilaksanakan ketika itu.
MAKLUMBALAS MEMBINA
Idris berkata kerajaan negeri sentiasa menyambut baik sebarang maklum balas bagi memastikan kempen ‘Don’t Mess With Melaka’ sentiasa sesuai dengan situasi di negeri ini.
“Sejujurnya saya melihat maklumbalas ini sebagai satu penyeri yang mana orang ramai sebenarnya tahu kempen ini ada kerana jika sunyi sepi sahaja nampak macam tiada apa-apa pula kempen ini,” katanya.
Sementara itu, walaupun terdapat kritikan dan maklumbalas, kempen ‘Don’t Mess With Melaka’ semakin mendapat tempat di hati rakyat yang mula memahami maksud di sebalik slogan itu.
Logo kempen berdasarkan warna bendera Melaka merah, biru, putih dan kuning juga kini seakan mula sinonim dengan imej Melaka yang amat mementingkan budaya kebersihan dalam kalangan rakyatnya. – BERNAMA