MELAKA – Malaysia dan Thailand melayakkan diri ke peringkat separuh akhir kategori lelaki Kejohanan Sepak Takraw Siri Super Istaf Malaysia 2015 apabila muncul juara kumpulan masing-masing di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di sini, semalam.
Saingan terakhir Kumpulan B menyaksikan Malaysia menewaskan Indonesia dengan 2-0 (21-14 dan 21-12) untuk meletakkan Malaysia berada di tangga teratas diikuti Singapura.
Thailand pula mudah menjinakkan Korea Selatan dengan catatan 2-0 (21-11, 21-11) pada perlawanan terakhir Kumpulan A untuk menduduki tempat teratas dan Korea Selatan di tempat kedua.
Separuh akhir esok menyaksikan saingan menarik antara Malaysia dan Korea Selatan, pasukan yang pernah beberapa kali menewaskan pasukan kebangsaan negara termasuk dalam acara regu peringkat kumpulan Sukan Asia ke-17 tahun lepas.
Mengulas mengenai perlawanan esok, jurulatih Malaysia Abd Talib Ahmad berkata beliau akan memikirkan percaturan terbaik terutamanya untuk posisi killer.
“Kita punyai dua striker (killer) yang amat baik iaitu Khairol (Khairol Zaman Hamir) yang menunjukkan prestasi baik dalam perlawanan sebelum ini dan Hanafiah Dollah yang menunjukan keserasian dengan tekong (Mohd Shahir Mohd Rosdi). Saya akan lihat siapa yang perlu diturunkan,” katanya kepada pemberita.
Thailand pula dijangka tidak menghadapi sebarang masalah untuk melayan saingan Singapura dalam satu lagi saingan separuh akhir esok.
Persaingan kategori wanita hari ini menyaksikan kejutan apabila juara bertahan Thailand tewas kepada Myanmar 2-1 (17-21, 21-17 dan 21-14) sekaligus meletakkan Myanmar di tempat teratas kumpulan B dan Thailand di tempat kedua.
Nasib malang terus menimpa pasukan Malaysia apabila tewas kepada Vietnam dengan mata 2-1 (21-12, 21-23 dan 21-12) dalam kumpulan A, sekaligus gagal mara ke peringkat separuh akhir.
Peringkat separuh akhir bakal menemukan Myanmar dengan Vietnam yang berada di tempat kedua Kumpulan A manakala Korea Selatan yang berada di tangga teratas Kumpulan A akan berentap dengan Thailand.
KEPUTUSAN :
———–
LELAKI
Kumpulan A :
————
Thailand mn Myanmar 2-0 (21-7, 21-18)
Thailand mn Korea Selatan 2-0 (21-11, 21-11)
Myanmar mn Jepun 2-1 (21-14, 17-21, 21-8)
Kumpulan B :
————
Malaysia mn Singapura 2-0 (21-13, 21-16)
Indonesia mn China 2-0 (21-15, 21-10)
Malaysia mn Indonesia 2-0 (21-14, 21-12)
WANITA
Kumpulan A :
————
Korea Selatan mn Vietnam 2-0 (21-18, 21-17)
Vietnam mn Malaysia 2-1 (21-12, 21-23, 21-12)
Kumpulan B :
————
Myanmar mn Thailand 2-1 (17-21, 21-17, 21-14)
CARTA:
—–
LELAKI:
Kumpulan A:
———-
. P M K MATA
Thailand 3 3 0 6
Korea Selatan 3 2 1 4
Myanmar 3 1 2 2
Jepun 3 0 3 0
Kumpulan B:
———-
. P M K MATA
Malaysia 3 3 0 6
Singapura 3 2 1 4
Indonesia 3 1 2 2
China 3 0 3 0
WANITA:
Kumpulan A:
———–
. P M K MATA
Korea Selatan 2 2 0 4
Vietnam 2 1 1 2
Malaysia 2 0 2 0
Kumpulan B:
———-
. P M K MATA
Myanmar 2 1 0 4
Thailand 2 1 1 2
Jepun 2 0 2 0
(NOTA: Dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan layak ke separuh akhir)
– BERNAMA