KUALA LUMPUR – DAP menyelar Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalannya, Datuk Dr. Wee Ka Siong kerana tidak mendesak peletakan jawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada mesyuarat Kabinet semalam.
Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie ching mendakwa, kedua-dua pemimpin MCA berketurunan Cina tersebut sepatutnya membuat desakan itu kerana Ismail Sabri telah membuat kenyataan berbaur perkauman.
“Tiong Lai sebelum ini mahukan keadilan untuk peniaga Cina berikutan kenyataan Ismail Sabri memburuk-burukkan peniaga CIna.
“Menurut Tiong Lai, MCA telah sebulat suara meluluskan usul mengutuk boikot panggilan Ismail Sabri kerana ia menghasut kebencian kaum dan hubungan kaum rosak,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Bagaimanapun, kata Nie Ching, Tiong Lai dan Ka Siong tidak mendesak Ismail Sabri meletak jawatan mahupun meminta menteri itu menarik balik kenyataannya berhubung peniaga Cina dalam mesyuarat berkenaan.
“Sikap penakut MCA membuktikan bahawa mereka tidak layak untuk mewakili masyarakat Cina di Malaysia,” dakwanya.
Ismail Sabri sebelum ini menyeru pengguna memboikot golongan peniaga termasuk berketurunan Cina yang berdegil menurunkan harga barangan walaupun harga minyak telah menurun.
Kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu bagaimanapun telah disalah tafsir ramai pihak terutama pemimpin pembangkang kononnya Ismail Sabri membuat kenyataan rasis ke atas kaum berkenaan. – mynewshub.cc
https://www.youtube.com/watch?v=eONB8VjxDpg

