Siapa yang tidak akan teruja apabila menaiki kenderaan yang sama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad? Apatah lagi, tokoh tersebut yang menjadi pemandu!
Pengalaman tersebut dirasai oleh pemimpin nombor satu Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi ketika lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia, baru-baru ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Jokowi Puas Hati, Sifatkan Lawatan Ke Malaysia Berjaya]
Menerusi satu sesi lawatan, Jokowi dibawa melawat sebuah kilang Proton bagi menyaksikan sendiri kecanggihan teknologi serta R&D syarikat kereta nasional pertama Malaysia itu.
Bukan itu sahaja, satu MoU juga ditandatangani antara Proton dan PT Adiperkasa Lestari bagi merealisasikan cita-cita republik berkenaan untuk memiliki kereta nasional sendiri.
Dalam sesi berkenaan, Jokowi sempat merasai pengalaman menaiki model terbaru keluaran Proton iaitu Iriz yang dipandu sendiri oleh Tun Mahathir di litar pandu uji di situ.
“Kalau di Indonesia, kelajuan yang paling tinggi saya pandu hanyalah 60km/j, tetapi Dr. Mahathir bawa mencecah 150 km/j namun pemanduannya sangat lancar dan stabil tanpa sedikit pun gegaran yang terasa dan inilah antara teknologi Proton yang mahu dipelajari oleh Jakarta,” ujar beliau kepada media.
Sementara itu, menurut Tun Mahathir pula, beliau akan memandu sendiri setiap model yang dikeluarkan bagi memastikan kenderaan tersebut benar-benar lulus ujian kualiti sebelum dikeluarkan kepada pembeli. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: IZZAT MOHD ANUAR
Tiga Ucapan Paling Diingati Oleh Tun Mahathir Mohamad


