ANKARA – Barang kali berita gembira ini kurang diberi liputan media antarabangsa, namun hakikatnya, kehebatan tentera Turki bertempur secara berdepan dengan ribuan militan pelampau IS tanpa seorang pun terkorban memang dianggap amat luar biasa.
Kejadian berlaku apabila sekumpulan 40 anggota tentera Turki yang mengawal makam Suleyman Shah di Syria, antara pengasas khalifah Uthmaniah atau disebut Barat sebagai Ottoman; meminta bantuan Ankara selepas berbulan-bulan dikepung IS.
Marah dengan kezaliman IS, Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu mengarahkan operasi menyelamat melibatkan 100 buah kereta kebal dan kenderaan perisai serta puluhan jet tempur ke wilayah Syria yang menempatkan makam bersejarah itu.
Misi khas lewat Sabtu lalu itu menyaksikan pasukan tentera menyeberangi Syria di wilayah Aleppo, sekitar 35 kilometer dari sempadan Turki; yang dirujuk sebagai wilayah berdaulat Turki berdasarkan perjanjian antarabangsa pada 1921.
Turki, meskipun diisytihar republik sekular oleh Mustafa Kemal Atartuk pada 1923; tetap mengiktiraf hak kedaulatan mengikut perjanjian itu dan mempertahankan seluruh kepentingan Turki termasuk makam pengasas Uthamaniah di mana pun ia berada.
Operasi berakhir lewat Ahad turut menyaksikan pasukan tentera Turki berjaya memindahkan makam tersebut dan sejumlah barangan bersejarah kembali ke wilayah dekat sempadan Syria yang dikuasai pihak militan tempatan Turki.
Kementerian Luar Negeri Syria mendakwa operasi itu tiada kebenaran Damsyik dan melanggar perjanjian 1921, namun Ankara berkata, ia sudah memaklumkan kepada Syria dan tidak memerlukan keizinan untuk memasuki sempadan.
Pemerintah Syria yang marah dengan tindakan Turki mendedahkan, operasi ketenteraan itu menunjukkan hubungan baik Ankara dan kumpulan militan tempatan di wilayah Aleppo; yang bergolak antara IS dengan pemberontak Kurdish.
Sesuatu yang pelik ujar Damsyik, di sebalik serangan hebat IS ke atas tentera Turki, makam Suleyman Shah langsung tidak diusik militan pelampau itu dan cuma seorang tentera Turki maut, itupun kerana kemalangan jalan raya, bukan ditembak IS. – Agensi