KUALA TERENGGANU – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengagihkan bantuan barangan bernilai RM1,000 untuk setiap usahawan bimbingannya yang terjejas banjir, akhir tahun lepas.
Pengerusi FAMA Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata setakat ini Kelantan mencatat jumlah usahawan paling tinggi iaitu 921 orang, malah hanya tiga daripada 25 tapak pasar tani yang selamat dalam bencana tersebut iaitu di Ketereh, Melor dan Kok Lanas manakala selebihnya teruk terjejas.
“Antara barangan yang diberi secara percuma ialah peralatan perniagaan seperti meja, payung, baju uniform dan barangan lain.
“Bantuan ini telah diberi kepada usahawan yang memaklumkan kerugian yang dialami dan akan diteruskan sehingga semua usahawan terjejas ini mendapat bantuan untuk memulakan perniagaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program perhimpunan Agropreneur peringkat negeri di sini hari ini.
Kira-kira 200 usahawan wanita hadir pada sesi taklimat itu yang memberi pendedahan mengenai selok-belok perniagaan berasaskan pertanian termasuk aspek pembiayaan dan penyediaan rancangan perniagaan.
Badruddin berkata FAMA sentiasa turun padang dan membantu usahawan untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka dan bekerjasama dengan jabatan dan agensi keusahawanan yang lain sekiranya FAMA tidak mempunyai dana atau kemudahan tertentu yang diperlukan usahawan terbabit.
“Contohnya untuk menempatkan produk keluaran mereka di pasar raya, FAMA akan membantu dan ini juga memberi banyak faedah kepada usahawan termasuk dari segi bayaran dan aspek pemasaran.
“Sekiranya mereka melakukannya bersendirian sudah pasti prosedurnya juga berbeza, disebabkan itu kami menyarankan agar mereka berdaftar dengan FAMA untuk menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan,” katanya. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=07yy4una-rw

