SEREMBAN – Sebanyak 22,321 perniagaan kaum India mendapat manfaat daripada Sekretariat Khas Untuk Memperkasakan Usahawan India (SEED) di Jabatan Perdana Menteri sejak penubuhannya pada 2012.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif SEED Datuk Dr A T Kumararajah berkata pihaknya turut mengagihkan pinjaman mudah sebanyak RM532.92 juta daripada program kerajaan dan institusi kewangan pembangunan.
Beliau berkata selain membantu peniaga India mendaftar bagi Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), SEED kini memberi tumpuan kepada menggalakkan wanita dan belia kaum itu menyertai bidang perniagaan.
“Ini termasuklah peluang pembiayaan terutamanya bagi wanita yang terlibat dalam perniagaan mikro menerusi dana RM50 juta yang disediakan di bawah Tekun Nasional dan RM30 juta dalam Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM),” katanya di sini.
Menurutnya untuk merealisasikan matlamat itu, satu unit khas akan ditubuhkan di bawah AIM manakala Skim Pembangunan Usahawan Masyarkat India (SPUMI) di bawah Tekun Nasional akan diperkasakan.
Kumararajah berkata SEED juga memperkenalkan Inisiatif Transformasi Usahawan SEED atau SET, yang merupakan program intervensi sosial berkonsepkan keusahawanan kaum India di setiap kawasan Parlimen.
“Program intervensi ini direka untuk menjadi platform bagi berkongsi semua inisiatif yang berkait rapat dengan kerajaan bagi masyarakat India. Ia akan merangkumi kedua-dua segmen perniagaan mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhana.
“Menerusi usaha ini, masyarakat India akan mendapat pendekatan lebih jelas mengenai prospek pembiayaan dan pengetahuan mengenai program-program keusahawanan kerajaan,” katanya.
Sekretariat SEED merupakan inisiatif Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bertujuan menerajui, memacu dan menyelaras penglibatan usahawan kaum India di dalam teras agenda pembangunan ekonomi negara.
SEED ditubuhkan sebagai unit strategik di JPM pada 1 Ogos 2012 dan memberi bimbingan serta maklumat secara terperinci mengenai pinjaman dan bantuan kerajaan untuk usahawan India. – BERNAMA