Selepas beraksi pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI 2015 semalam (Khamis), jaguh berbasikal trak negara Josiah Ng mengumumkan persaraanya.
Tulisnya menerusi laman sosial Facebook rasminya, “Saya pula mengakhiri kerjaya saya dengan kejayaan beraksi dalam keirin. Keputusan saya hari ini mungkin tidaklah hebat, tetapi saya melakukannya dengan penuh rasa bangga.”
Katanya lagi, “Saya diberikan banyak peluang untuk menyerlah, dan kini tiba masanya untuk rakyat Malaysia yang lain untuk terus menciptakan kebanggaan semua.
“Terima kasih untuk semua yang menyokong kami selama ini. Ia merupakan satu penghormatan untuk mewakili Malaysia selama 15 tahun.”
Dalam kejohanan yang bertempat di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines, Perancis itu, secara keseluruhannya beliau berjaya menempatkan diri di kedudukan ke-21 bagi acara keirin kategori lelaki elit.
[TERDAHULU: Kemenangan Azizulhasni Dibatalkan, Josiah Rangkul Gangsa]
Dalam pada itu, rakan senegara, Mohd Azizulhasni Awang berjaya mengharumkan nama negara sekali lagi apabila merangkul pingat gangsa dalam acara sama.
Komen Josiah dalam ruangan sama, “Hari yang menakjubkan buat pasukan kami. Rakan sepasukan, Azizul, memecut umpama gladiator hari ini dan menamatkannya dengan pingat gangsa.
Saya kagum dengan beliau dan rasa bangga dapat menjadi sahabat dan rakan sepasukannya.”
Antara pencapaian terbaiknya adalah ketika Sukan Komenwel 2010 di New Delhi apabila berjaya mengenggam pingat emas dalam acara keirin dan pingat gangsa bagi acara berpasukan. – MYNEWSHUB.CC
Kemalangan Di Track Yang Dialami Josiah Ng Di Kejohanan Dunia UCI 2013 Di Mexico


