KOTA BHARU – Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang sedang mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini, dilaporkan bertambah stabil.
Anak lelakinya Nik Mohamad Abduh berkata bekas Menteri Besar Kelantan itu dimasukkan ke hospital berkenaan kerana tahap kesihatannya sedikit merosot ketika banjir baru-baru ini, selain menghidap kanser prostat.
Beliau berkata Nik Abdul Aziz, 84, menunjukkan reaksi lebih baik dan semakin positif terhadap semua rawatan yang diberikan.
“Ayah sempat menunaikan solat subuh dan bersarapan teh o sebelum berehat semula.
“Pemeriksaan melalui CT scan juga normal, cuma doktor meminta anggota keluarga yang sihat supaya menderma darah untuk persediaan jika keadaan memerlukan,” katanya kepada pemberita di hospital itu hari ini.
Nik Mohamad Abduh yang juga Anggota Parlimen Pasir Mas berkata bapanya turut bertanyakan mengenai tahap kesihatannya sepanjang berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Neuro itu.
Menurutnya Nik Abdul Aziz sudah lama menghidap kanser prostat dan penyakit itu dapat dikawal selepas rawatan berterusan dilakukan.
Beliau berkata pelawat yang mahu menziarahi bapanya akan dibenarkan berbuat demikian oleh pihak hospital dan keluarganya sahaja.
“Terima kasih juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan untuk kesihatan ayahanda,” katanya.
Malam tadi, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan melawat Nik Abdul Aziz.
Nik Abdul Aziz, yang menjadi menteri besar Kelantan sejak 1990, menyerahkan jawatan itu kepada timbalannya Datuk Ahmad Yakob selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 2013. – BERNAMA
