Memetik laporan The Rakyat Post, anasir negatif ‘ala mafia’ kini dikatakan menyelubungi Persatuan Olahraga Malaysia (KOM) apabila berlaku beberapa kes seperti ugutan dan terbaharu, Naib Presidennya Datuk Noorul Ariffin Abdul Majid ditembak semalam (Khamis).
Menurut Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim, sebulan sebelum kes tembakan tersebut, Noorul Ariffin telah menerima surat ugutan bunuh.
Dalam kejadian semalam, Noorul Ariffin diberitakan mengalami kecederaan di bahagian kaki setelah ditembusi satu daripada empat das tembakan yang dilepaskan ke arahnya.
Noorul Ariffin ditembak di hadapan rumahnya ketika baru pulang dari surau berdekatan.
Ujar Karim, surat yang turut mengandungi mesej ugutan kepadanya itu berkemungkinan mempunyai kaitan dengan isu pemilihan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Olahraga Amatur Negeri Johor (POANJ) tahun lalu.
Tambahnya, dalam surat yang telah dihantar kira-kira tiga minggu lalu itu, Noorul Ariffin yang memenangi kerusi Presiden POANJ digesa agar melepaskan jawatannya itu andai mahu selamat.
“Nama saya juga dinyatakan dalam surat itu, yang meminta Noorul Ariffin melepaskan jawatan dan jika tidak berbuat demikian kami berdua akan dibunuh.
“Saya tidak faham mengapa perkara ini berlaku dan ini adalah kali pertama dalam sejarah olahraga ada pegawainya ditembak. Nasib baik tembakan tersebut tidak mengenai badan.
“Sewajarnya ini semua tidak berlaku dan perkara yang menimpa Noorul Ariffin adalah sesuatu yang amat mengejutkan. Sekarang biarlah pihak polis menjalankan siasatan berhubung insiden ini.”
Menurut laporan, Noorul Ariffin kini sedang menerima rawatan di salah sebuah hospital di ibu negara dan berada dalam keadaan stabil.
Dalam pada itu, Ahmad Shapawi Ismail yang juga Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) berkata, beliau mengharapkan insiden ini tiada kena mengena dengan olahraga kerana amat memalukan jika ia terjadi disebabkan isu itu. – MYNEWSHUB.CC
Naib Presiden KOM, Datuk Noorul Ariffin Ditembak Di Bahagian Kaki


