PERGOLAKAN dalaman parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MIC, hari ini menimbulkan pula isu baru.
Sekeping foto memaparkan naib presidennya, Datuk M. Saravanan memiliki sepucuk pistol yang diselitkan di pinggang menjadi viral dan perbualan hangat warga maya.
Gambar tersebut dikatakan telah dirakam di ibu pejabat MIC di Kuala Lumpur yang mana ia menjadi lokasi beliau mengadakan sidang media pada Rabu lalu.
[BACA INI JUGA: 20 Orang Cuba Sekat Saravanan, Beliau Turut Diugut Bunuh]
Menurut laporan media, sidang media tersebut berlangsung dalam suasana tegang kerana sebelum ia bermula, Saravanan telah dihalang masuk ke dalam dewan oleh kira-kira 20 individu upahan pihak ‘musuh’ politiknya.
Selain itu, dalam sidang media tersebut, Saravanan mendedahkan bahawa dirinya menerima ugutan bunuh melalui dua panggilan telefon.
Memetik kenyataan Saravanan dari portal Malaysiakini, dia berkata, beliau memiliki lesen untuk senjata api jenis glock itu dan tidak pernah mengacukannya kepada mana-mana individu.
“Saya membawa senjata api berlesen sejak 15 tahun lalu atas sebab keselamatan. Tiada apa masalah. Saya perbaharui lesen setiap tahun. Senjata itu biasanya disimpan di dalam kereta.
Tetapi pada hari itu, ia berada dalam sarung dan saya percaya dalam kekecohan itu kot saya bergerak sedikit yang mendedahkan hulu pistol tersebut. Saya tidak mengacukannya kepada sesiapa.”
Malaysiakini turut melaporkan, pihak polis akan membuat perbincangan dengan Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkenaan cara beliau mengendalikan senjata api tersebut.
Menurut polis, ia perlu dibawa dengan berhati-hati bagi mengelakkan situasi merbahaya seperti diragut ketika pergelutan. – MYNEWSHUB.CC
M. Saravanan Terima Ugutan Bunuh Ketika Sesi Sidang Media


