Padah menggunakan istilah sensitif ‘keling’ dalam ucapannya di Perhimpunan Agung UMNO 2014, satu siri laporan polis bakal dibuat oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) terhadap perwakilan Pulau Pinang, Zaidi Mohd Said.
Tamilar Action Force (TAF) telah memulakan siri tersebut dengan satu laporan polis yang dibuat di Klang, Selasa lalu.
Memetik kenyataan jurucakapnya, S. Barathidasan kepada portal Malaysiakini, “Ini bukan hanya demi masyarakat India, tetapi buat semua.”
Dia yang juga Setiausaha Agung Persatuan Progresif India Malaysia (Mipas) menambah, istilah ‘keling’ yang diungkapkan Zaidi ‘menyakiti dan menghina’ seluruh masyarakat India di Malaysia.
Ujarnya lagi, “Zaidi bukan hanya menghina masyarakat India tetapi juga (menjejaskan) keharmonian di negara.”
Barathidasan juga menggesa agar Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh itu disiasat di bawah Akta Hasutan dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana ‘sengaja menghina dengan niat untuk menjejaskan keamanan’.
Kenyataan tersebut disifatkan Barathidasan sebagai tidak menghormati komponen parti dalam BN dan seruan pemimpin atasan agar tidak membangkitkan isu sensitif semasa perhimpunan itu.
Mengimbas kembali ucapan Zaidi, dia berkata, “Kita amat tidak bernasib baik kerana kita kalah dengan amat teruk di kawasan kerusi parlimen… yang kerusi, DUN, kerusi, peti undi yang mempunyai majoriti pengundi Cina.
Jadi ini menunjukkan bahawa Melayu Pulau Pinang tak kiralah mamak ke, keling ke, menyokong Umno di Pulau Pinang.” – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR

