KANGAR – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melebarkan jaringannya di peringkat antarabangsa apabila menjalin kerjasama dengan Al Ghurair University (AGU) yang sedang membina nama besar di Timur Tengah terutamanya Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata sebagai permulaan kedua-dua universiti itu menandatangani surat hasrat (LOI) minggu lalu di Dubai sebelum mengukuhkan hubungan kerjasama itu.
Katanya pada majlis menandatangani LOI itu, beliau mewakili UniMAP manakala AGU yang diwujudkan pada 1999 diwakili presidennya, Dr Abdurahem Mohammed Al Ameen.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP berangkat menyaksikan majlis yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka.
Kamarudin berkata jaringan itu akan membolehkan kedua-dua universiti itu saling bekerjasama terutama dalam bidang penyelidikan dan akademik.
“Kerjasama ini akan membolehkan kedua-dua universiti berkongsi pengalaman dan kepakaran bagi memantapkan kedudukan di persada antarabangsa,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
UniMAP meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok 500 universiti terbaik dunia menjelang 2020 dan mencatat banyak kejayaan besar di peringkat antarabangsa sejak penubuhannya terutama dalam bidang penyelidikan. – BERNAMA
