PADANG BESAR – Rumpai miang Mexico yang tersenarai sebagai rumpai perosak yang berbahaya dikesan wujud di kawasan projek tanaman kenaf Rimba Mas dekat sini Isnin lalu.
Pengarah Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) Perlis, Padeli Mohamed berkata rumpai itu dikesan oleh pihaknya yang terbabit mengendalikan projek tanaman itu sebelum melaporkan kepada Jabatan Pertanian Negeri Perlis untuk pengesahan.
Jabatan Pertanian hari ini mengesahkan bahawa tumbuhan yang hampir menyerupai pokok ‘Ulam Raja’ itu adalah rumpai miang Mexico atau nama saintifiknya ‘Parthenium Hysterophorus.’
Rumpai itu mula dikesan di negara ini pada 2013 di Ulu Yam, Selangor dan kemudian ditemui pula di Pahang, Terengganu, Kedah dan Perak sebelum penemuan terbaharu di Perlis.
Tumbuhan itu berbahaya kerana debunga yang keluar daripadanya boleh menyekat atau mengganggu proses pengeluaran hasil tanaman pokok yang sedang berbuah.
Padeli ditemui di lokasi penemuan itu dengan turut disertai bersama Penolong Pegawai Pertanian Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Negeri Perlis, Jabatan Pertanian Perlis, Norlis Ibrahim dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar (KPAS), Jabatan Kesihatan Perlis, Dr Mohd Zukri Ibrahim.
Sementara itu Norlis berkata dua hektar daripada keseluruhan 22 hektar projek tanaman itu dikesan ditumbuhi rumpai itu secara berselerak atau bertompok.
Berikutan penemuan itu, lokasi itu menjadi kawasan larangan di bawah Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981 untuk mengelak ia merebak ke tempat lain melalui debunga yang boleh terlekat pada pelbagai bahan termasuk pakaian, kasut dan tayar kenderaan.
Bagaimanapun mereka yang terbabit dengan projek itu diberi kebenaran memasuki kawasan ladang dengan memakai pakaian pelindung diri di samping memusnahkan rumpai tersebut menggunakan racun atau mencabutnya menggunakan tangan yang bersarung hingga hasil kenaf dapat dipungut kira-kira empat bulan lagi.
Dr Mohd Zukri pula berkata pihaknya sedang membuat pemantauan kemungkinan terdapat mereka yang terlibat secara langsung bekerja di ladang kenaf itu mendapat sesuatu penyakit yang berpunca dari bahan kimia rumpai terbabit.
Bagaimanapun, katanya setakat ini belum ada sesiapa yang dikesan mendapat rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar berpunca dari rumpai berkenaan.
Rumpai miang Mexico adalah sejenis tumbuhan liar yang berasal dari beberapa negara di Amerika Selatan dan utara sebelum tersebar ke Asia, Afrika dan Australia.
Kajian mendapati rumpai itu berbahaya kerana boleh memberi kesan yang teruk kepada ekosistem semulajadi, sektor pertanian dan ternakan serta menyebabkan alahan kepada manusia.
Bahan kimia yang terdapat pada rumpai berkenaan dikenali dengan nama parthenin, hymenin dan ambrosin dikenal pasti boleh memberi kesan ke atas kesihatan manusia terutama kanak-kanak dan orang tua.
Gejala daripada tindak balas alahan akibat bahan kimia pada rumpai itu adalah seperti ruam kulit, kulit mengelupas, gatal-gatal pada kulit, mata bengkak serta gangguan pada sistem pernafasan seperti selsema dan asma. – BERNAMA