KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr. Hatta Ramli akan menyertai beberapa pelajar Universiti Malaya (UM) bekhemah dalam kawasan universiti itu bermula 14 Disember ini.
Rafizi berkata, beliau akan menyertai perkhemahan itu bermula pukul 11 malam dan menjemput ahli politik lain menyertai perkhemahan itu bagi membantah tindakan UM menghukum tujuh pelajarnya kerana menganjurkan perhimpunan yang dilarang Oktober lalu.
“Sebagai solidariti dengan siswa dan gerakan menuntut kebebasan akademik keseluruhannya, kami juga menyeru supaya pimpinan parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis datang menyertai siswa yang berkhemah dengan bergilir-gilir tidur di sini.
“Malaysia memerlukan golongan muda yang kritis dan bebas bersuara,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Hatta pula berkata, mereka dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar akan mengumpulkan Ahli Parlimen pakatan pembangkang untuk menyerahkan nota bantahan kepada pengurusan UM pada Selasa ini bagi menuntut hukuman itu digugurkan.
Menurut beliau, pengurusan UM seharusnya memberi tumpuan kepada soal meningkatkan mutu pendidikan, bukan mengekang suara dan kegiatan siswa.
Sekumpulan pelajar UM mendirikan khemas dalam kawasan UM sejak petang semalam atas alasan memberi sokongan kepada tujuh pelajar UM yang dihukum keranamenganjurkan perhimpunan haram Oktober lepas.
Ia merupakan tindakan ‘occupy’ yang dibuat oleh segelintir mahasiswa UM dengan berkhemah di dalam kampus.
Antara penuntut yang diumumkan UM menerima hukuman ialah Presiden Persatuan Mahasiswa UM (PMUM), Fahmi Zainol yang digantung dua semester pengajian dan didenda RM600 bagi empat pertuduhan.
Seorang lagi pelajar, Safwan Shamsudin turut digantung pengajian tetapi hanya untuk satu semester berkuatkuasa serta-merta, didenda dan diberi amaran.
Empat lagi pelajar diberi amaran dan didenda RM150 setiap seorang, manakala seorang pelajar dilepaskan dengan amaran
Mereka didapati terlibat dalam penganjuran perhimpunan yang diharamkan oleh UM yang turut melibatkan penyertaan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – mynewshub.cc