KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) akan menghormati sebarang keputusan Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kedudukan pemain Gary Steven Robbat.
Setiausaha Kerhomatnya, Mohd. Fahmy Yahya berkata, PBNJ berharap semua pihak terlibat dalam isu pemain itu turut mengambil pendekatan serupa supaya tidak menganggu Gary yang kini sedang menggalas tugas untuk skuad kebangsaan dalam Piala AFF Suzuki 2014.
“Kita sedang menghadapi keadaan di mana seorang pemain telah menandatangani kontrak dengan beberapa pasukan yang berbeza pada masa yang sama.
“Jawatankuasa Status Pemain FAM akan menyiasat dan menghubungi persatuan yang terlibat serta pemain berkenaan untuk menentukan pasukan yang akan diwakilinya. Kami akan menghormati sepenuhnya sebarang keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Status Pemain selepas mendengar dari semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Fahmy berkata, PBNJ berharap kes itu tidak mengganggu Gary kerana beliau dalam tugasan negara untuk Piala AFF Suzuki 2014 dan semua pihak perlu memberi sokongan kepada beliau dan Harimau Malaya.
FAM sebelum ini memaklumkan nama Gary didaftarkan oleh tiga pasukan berbeza iaitu Pahang, Kedah dan Johor Darul Takzim (JDT) ketika pintu perpindahan musim 2014 berakhir Khamis lalu.