KUALA LUMPUR – Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) kurang senang dengan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Aer Lingus, Christoph R.Mueller sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu Malaysia Airlines (MAS).
Ketua Penerangan DUPP, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, pihaknya bimbang jika Mueller mengoperasikan MAS melampaui kerangka yang dipersetujui masyarakat Malaysia.
“Ia termasuklah mengekalkan perkara-perkara yang tidak menepati syariah pada aspek penampilan atau pemakaian pramugari dan penyediaan minuman keras semasa penerbangan serta caj arak dalam bayaran tiket.
“Perkhidmatan penerbangan negara harus sekali menjadikan ajaran Islam sebagai garis panduan dalam menyediakan perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohd. Khairuddin berkata, CEO MAS yang dilantik mesti menghayati aspirasi rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan dalam konteks hak, tanggungjawab, kebebasan, perpaduan dan kebudayaan.
Beliau bimbang MAS akan terus kehilangan berkatnya maka penyusunan semula MAS itu peluang terbaik untuk MAS meraih keuntungan yang barakah selepas ini.
“Ia tidak hanya bergantung kepada pengurusan yang cekap tetapi juga hala tuju, dasar dan urustadbir pengurusan perniagaan berlandaskan Islam menerusi patuh syariah sesuai dengan Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mendesak Khazanah Nasional Berhad menubuhkan jawatankuasa syariah dalam pentadbiran MAS dengan memasukkan item penubuhan jawatankuasa itu sebagai sebahagian daripada pelan 12 perkara pemulihan MAS.
“Walaupun secara jangka pendek Mueller mungkin boleh memulihkan MAS, namun secara jangka panjangnya beliau belum tentu dapat memacu pertumbuhan keuntungan MAS mengambil kira cabaran mengendalikan syarikat penerbangan di rantau Asia Tenggara berbeza dengan Eropah kerana institusi itu tidak dimiliki oleh kerajaan,” katanya.
Oleh yang demikian, saya mendesak agar Kerajaan dan Khazanah Nasional Berhad mengkaji semula pemilihan dan perlantikan CEO baharu MAS dengan mengambilkira pandangan yang dikemukakan oleh tokoh pemimpin negara seperti Tun Mahathir, dan juga bekas CEO MAS seperti Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman yang tetap mahukan MAS dikendalikan oleh seorang ketua warga tempatan. – mynewshub.cc

