`PROJEK’ untuk mengambil alih jawatan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) daripada bekas Timbalan Perdana Menteri yang dipecat, Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin agresif.
Sumber dalaman PKR memberitahu mynewshub.cc, Naib Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali kini dalam keadaan siap siaga untuk memasuki fasa kedua `projek’ tersebut.
Sumber bagaimanapun memaklumkan Azmin berbuat demikian bukan kerana gilakan kuasa sebaliknya mahu menyelamatkan PKR daripada ambang kemusanahan.
Jelas sumber, Azmin sebenarnya tidak pun berharap untuk menjatuhkan `sifunya’ disebalik `projek’ itu, sekadar mahu mengambil alih tampuk kepimpinan PKR demi masa depan parti.
Ia berikutan ramai ahli PKR menyatakan harapan agar Menteri Besar Selangor itu menjadi pemimpin utama PKR untuk berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.
Ahli bimbang reputasi Anwar yang kini satu liabiliti kepada parti berikutan perbalahannya dengan Istana Selangor akan menyebabkan PKR tumbang di negeri itu.
Ahli turut melihat Anwar mula hilang kredibiliti, kata-katanya makin kurang dipercayai rakyat dan semakin sedikit yang mengambil peduli majlis-majlis ucapannya.
Lebih menarik apabila sumber memaklumkan Azmin turut mendapat sokongan padu ramai pimpinan PAS termasuk Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam `projek’ itu.
Selepas PAS berjaya membantu Azmin menjadi Menteri Besar Selangor, kini PAS bersedia untuk membantu Azmin menjadi Ketua Umum PKR pula.
“Sebab itu Presiden PAS (Abdul Hadi) tidak bising-bising Azmin mengurangkan satu kerusi Exco untuk PAS selepas menjadi Menteri Besar Selangor.
“Cerita tentang Abdul Hadi tawar Azmin sertai PAS untuk membentuk kerajaan bersama sebelum ini tidak boleh disangkal,” kata sumber.
Sumber itu bagaimanapun menjelaskan Anwar bukan bodoh. Beliau tahu tentang `projek’ itu maka juak-juaknya dalam parti sedang mengusahakan sesuatu.
Menurut sumber, Anwar tahu hasratnya untuk mengangkat isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail atau anaknya, Nurul Izzah sebagai pengganti pasti mendapat tentangan ahli.
Justeru, beliau sedang berusaha menaikkan Rafizi Ramli yang juga Naib Presiden PKR yang diharap boleh melindungi kepentingan keluarganya dalam parti suatu hari nanti.
Sumber memberitahu, sebab itu Anwar melantik Rafizi sebagai Setiausaha Agung PKR kerana Naib Presiden PKR itu mampu menyaingi Azmin daripada segi reputasi dalam kalangan ahli.
“Azmin tidak seperti Rafizi ada jentera propaganda `whistle blower organisation’ yang cekap mengorek maklumat dalaman kerajaan Pusat,” dedah sumber.
Pendedahan awal mynewshub.cc mengenai ramai ahli PKR mahu Azmin menggantikan Anwar baru-baru ini secara tidak langsung disahkan sendiri oleh Chegubard.
Selepas mynewshub.cc mendedahkan perkara itu pada 7 Disember lalu , Chegurbard tampil sekali lagi mendedahkan tentang usaha Azmin mahu menjatuhkan Anwar.
Nampak gaya parti PKR semakin berkecamuk. Inikah parti yang diharap untuk menentukan nasib dan masa depan negara dan kira-kira 30 juta rakyat Malaysia?.