London – Mesir dan Maghribi mengharamkan filem epik ‘Exodus: Gods and Kings,’ yang kononnya berdasarkan kisah dari Bible atas alasan ‘bertentangan dengan sejarah sebenar.’
Ketua lembaga penapisan filem Mesir berkata, ia termasuk dakwaan piramid dibina oleh kaum Yahudi dan gempa bumi, bukan mukjizat Nabi Musa (AS) yang menyebabkan Laut Merah terbelah.
Maghribi juga dilapor mengharam filem yang dibintangi oleh Christian Bale selaku Nabi Musa itu walaupun pihak berkuasa perfileman negara itu membenarkan tayangannya.
Hassan Belkady berkata, dia menerima ancaman pawagamnya di Casablanca akan ditutup jika ia menayangkan filem berkenaan.
Pengurus rangkaian pawagam Renaissance di Rabat berkata, mereka juga dimaklumkan mengenai pengharaman itu.
Pengarah filem Ridley Scott sebelum ini sudah dikecam kerana keputusan mengambil pelakon kulit putih untuk memegang watak utama walaupun kejadian itu berlaku di Asia Barat dan utara Afrika.
Scott berkata, dia bertindak demikian kerana hendak menarik sokongan kewangan.
Christian Bale yang memegang watak Nabi Musa membuat kejutan bulan lalu apabila menyifatkan karektornya sebagai kejam, tidak bertamadun dan gila.
‘Exodus: Gods and Kings,’ kononnya mengisahkan kebangkitan Nabi Musa menentang Firaun dengan membawa 600,000 abdi melarikan diri. – Agensi

