Jualan akhir tahun yang sedang berlangsung begitu meriah kali ini apabila pengguna mengambil kesempatan membeli pelbagai barangan mewah sebelum pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan dimulakan, April tahun depan.
Memetik laporan Mstar Online, pusat beli-belah mengatakan pengguna cenderung membeli perabot berharga ribuan ringgit, televisyen skrin besar, peti sejuk, barangan kemas dan jam tangan ketika jualan berlangsung tahun ini.
Penasihat Persatuan Pusat Beli-Belah Malaysia, H C Chan berkata, permintaan yang tinggi memang telah dijangkakan.
 MENARIK – Pusat Beli-Belah Yang ‘Ala-Ala’ Jenama Terkenal
“Pengguna memilih untuk membeli barangan tersebut sekarang kerana mereka tidak mahu membayar dengan harga yang lebih tinggi apabila GST dilaksanakan.
“Kami percaya permintaan untuk barangan ini akan mencatat penurunan ketara selepas April,” katanya.
Menurut beliau, peningkatan jualan akhir tahun diterima baik oleh pengusaha pusat beli-belah kerana perniagaan mereka agak perlahan sepanjang 11 bulan  terdahulu 2014 ini.
“Disember sentiasa jadi bulan pilihan kepada pengusaha pusat beli belah,” kata Chan, yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Beli Belah dan Taman Tema Sunway.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Pavilion Kuala Lumpur Joyce Yap pula, jam tangan dan barangan kemas merupakan dua item yang laris jualannya sejak beberapa minggu lalu di pusat beli-belah terkemuka di Bukit Bintang itu.
“Jam tangan yang berharga RM1 juta telah dibeli oleh orang tempatan sebaik sahaja ia diletakkan di rak pameran. Kami juga melihat pengguna mula mendapatkan barangan yang tidak dikenakan cukai pada ketika ini,” katanya.
Yap menjangkakan peningkatan jualan akan berterusan hingga sambutan Tahun Baharu Cina.
Bagaimanapun, Presiden Persatuan Peruncit-Rantaian Malaysia (MRCA), Datuk Liaw Choon Liang berkata, ahli MRCA tidak menikmati peningkatan jualan seperti diharapkan yang selalu berlaku pada Disember.
“Pada suku ketiga tahun ini jualan agak teruk.
“Walaupun jualan kini mencatatkan peningkatan namun ia masih agak jauh daripada jangkaan asal. Kami berasakan pengguna lebih berhati-hati kerana GST akan diperkenalkan dalam tempoh beberapa bulan sahaja lagi,” katanya.
MRCA mempunyai lebih daripada 250 ahli terdiri daripada pengusaha rantaian-runcit dengan lebih 20,000 peruncit di seluruh negara. – MYNEWSHUB.CC
Video Fakta Tentang Membeli-Belah Di Malaysia
http://youtu.be/pcM8-_qJfnc

