
GEORGE TOWN – Kerajaan DAP Pulau Pinang semalam mengesahkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) akan dinaik taraf menjadi Majlis Bandar Raya Pulau Pinang (MBPP) sekali gus mengesahkan George Town kembali mendapat semula status bandar raya.
Ia diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Trafik dan Kerajaan Tempatan Negeri, Chow Kon Yeow yang memberitahu Kementerian Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandar secara rasmi bersetuju dengan permohonan itu bulan lalu.
“Kementerian tersebut dalam surat bertarikh 10 Disember memaklumkan Kabinet telah meluluskan permohanan kerajaan Pulau Pinang pada 7 November dan membenarkan penambahan ratusan jawatan baharu untuk MBPP yang akan diwujudkan,†katanya.
Kelulusan itu termasuk persempadanan semula kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan tersebut namun maklumat lanjut hanya akan diperjelaskan lebih terperinci selepas mendapat perkenan status bandar raya daripada Yang di-Pertuan Agong kelak.

George Town pernah dimasyhurkan sebagai bandar raya pertama di Malaysia oleh Ratu Elizabeth II pada 1 Januari 1957 ketika negara masih di bawah penjajahan Inggeris tetapi taraf itu ditarik balik pada 1976 berikutan pewartaan Akta Kerajaan Tempatan baharu.
Ini menyebabkan Majlis Bandar Raya George Town bergabung dengan Majlis Daerah Luar Bandar Pulau Pinang menjadi MPPP manakala tiga daerah di tanah besar iaitu Seberang Perai Utara, Tengah dan Selatan menjadi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).
Usaha menaik taraf George Town kembali bermula sejak 2001 semasa Pulau Pinang masih di bawah pentadbiran Barisan Nasional dan dipergiatkan selepas ibu negeri Pulau Mutiara itu dianugerahkan status tapak warisan dunia bersama Melaka oleh UNESCO pada 2007.
Setakat ini Malaysia ada 11 bandar raya iaitu Kuala Lumpur (1972), Ipoh (1988), Kuching (1988), Johor Bahru (1994), Kota Kinabalu (2000), Shah Alam (2000), Melaka (2003), Alor Setar (2003), Miri (2005), Petaling Jaya (2006) dan Kuala Terengganu (2008). – Agensi

