KUALA LUMPUR – Setiausaha Politik kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Dyana Sofya Mohd. Daud menggesa Universiti Malaya (UM) menggugurkan hukuman yang dikenakan ke atas tujuh pelajar universiti itu kerana menganjurkan perhimpunan untuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober lalu.
Beliau mendakwa, hukuman yang dikenakan tersebut tidak wajar dan merupakan cubaan untuk menindas gerakan pelajar di negara ini.
“Adakah pihak pentadbiran universiti tidak memahami bahawa jawatan Ketua Pembangkang itu merupakan sebahagian daripada sistem Parlimen negara. Anwar merupakan pemimpin bukan seorang penjenayah dan beliau seorang bekas pelajar UM.
“UM harus menunjukkan contoh yang baik dan tidak menghina pelajar sendiri seolah-olah mereka tidak tahu membuat penilaian dengan akal sendiri. Menara gading sepatutnya menjadi pusat ilmu yang menghasil pemimpin yang mampu berfikir, namun bagaimanakah matlamat ini akan dicapai sekiranya kebebasan mahasiswa disekat,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dyana Sofya mendakwa, di negeri pakatan pembangkang seperti Pulau Pinang dan Selangor, wakil rakyat daripada parti lain diiktiraf malah diberi peruntukan tahunan untuk membantu rakyat dan tidak disekat daripada menghadiri program di sekolah atau universiti dalam negeri.
Justeru, katanya, UM sepatutnya berbangga kerana mempunyai pelajar yang berfikiran terbuka dan berani melibatkan diri dengan aktif berkenaan isu semasa serta menyuarakan pendapat mereka tidak kira sama ada menyokong kerajaan atau pembangkang.
“Pentadbiran universiti seharusnya tidak khuatir dengan kebebasan mahasiswa selagi tindakan mereka tidak melampau dan menjejaskan keamanan,” dakwanya. – mynewshub.cc

