Terkejut tatkala mendengar kisah berani daripada seorang budak lelaki 13 tahun yang berasal dari Australia ini.
Mana tidaknya, selepas digigit dengan seekor jerung  dia dengan selamba sempat berbasikal balik ke rumahnya dan sarapan pagi sebelum ke hospital.
Mangsa, Cameron Pearman berhadapan dengan saat genting bila dia digigit jerung ketika sedang meluncur di pantai dekat Mandurah, 85 kilometer dari Perth kira-kira pukul 6 pagi.
Bagaimanapun, budak lelaki tersebut hanya mengalami luka kecil di kakinya dan sempat dirawat  oleh seorang anggota penyelamat pantai, sebelum dia menunggang basikal untuk balik ke rumah.
Lebih malang, ketika tiba di rumah dan memaklumkan kepada orang tuanya mereka tidak percaya anak mereka diserang hidupan bahaya tersebut sebaliknya menyangka anaknya jatuh basikal.
Menurut Cameron, ketika insiden berkenaan dia hanya nampak kepala besar berwarna kelabu dan tiba-tiba ikan jerung yang dipercayai berukuran 2.25 meter menyerangnya dari belakang.
Budak lelaki ini sempat memberitahu, insiden ini tidak mematahkan minatnya terhadap hobi meluncurnya dan dia juga tidak takut untuk kembali ke laut.
Insiden budak digigit jerung ini menggemparkan kawasan setempat hingga menyebabkan pihak berkuasa pantai terpaksa menutup pantai tersebut daripada dikunjungi orang ramai sehingga Ahad nanti.
Ramai yang berpendapat Cameron sangat bertuah kerana terselamat daripada insiden berbahaya itu. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : FARAH

