Kuala Kangsar – Tiga maut termasuk seorang rentung, manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Batu 29 Kampung Chuar Kati di sini, hari ini.
Jurucakap bomba berkata, pihak Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 12.25 tengah malam tadi memaklumkan berlaku kemalangan membabitkan kereta jenis Mercedes Benz dan Proton Satria.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal diterima kedua-dua kenderaan terbabit dipercayai bertembung hingga mengakibatkan Proton Satria terbakar.
“Dua mangsa didapati meninggal dunia di lokasi kejadian dan dua lagi cedera parah, manakala seorang lagi mangsa yang berada dalam kereta Proton Satria ditemui rentung dalam kenderaan yang terbakar itu.
“Kesemua mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan dua mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya.
Menurutnya, operasi menyelamat dan menggeluarkan mangsa yang tersepit diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Ismail Darus dan tamat pada jam 3.25 pagi. – myMetro Online