KUALA LUMPUR – Rumah-rumah panjang di bawah pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sudah usang akan dikaji semula untuk dibangunkan mengikut kawasan-kawasan yang terlibat.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pihaknya akan bekerjasama dengan pemaju untuk mengambil inisiatif sama ada mengosongkan rumah tersebut atau membaik pulih rumah panjang berkenaan.
“Melihat kepada apa yang berlaku kini, terdapat penduduk yang tidak mahu berpindah daripada rumah berkenaan dan mahu terus menetap di situ walaupun telah diberikan tawaran untuk berpindah ke kawasan perumahan baru,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan RM1,500 kepada mangsa-mangsa kebakaran rumah panjang Blok 7 di Jalan Ikan Emas di sini hari ini.
Dalam kejadian Sabtu lepas, empat daripada lapan unit rumah panjang Blok 7 itu musnah dalam kebakaran, namun tiada kemalangan jiwa.
Mengenai perkembangan lain, kementerian telah menarik balik beberapa projek perumahan di Kolam Air, Taman Fadason dan Sentul atas sebab tertentu yang berpunca daripada masalah pemaju itu sendiri.
“Kami akan melihat semula kawasan-kawasan terbabit dan menawarkan projek itu kepada pemaju yang ingin membangunkannya,” katanya. – BERNAMA

