KOTA KINABALU – Rata-rata rakyat Sabah begitu teruja dengan kewujudan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sabah di Jalan Belia, Off Jalan Tunku Abdul Rahman di sini.
Mereka berpuas hati dengan kemudahan yang terdapat di UTC ini yang dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak esok.
“Rakan saya yang balik dari luar negara begitu kagum dengan kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di UTC Sabah.
“Mereka begitu gembira kerana Malaysia boleh menyediakan kemudahan seperti UTC,” kata Penyelaras UTC Sabah, Datuk Vincent Pung.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pinjaman Sabah berkata UTC yang menawarkan perkhidmatan sehenti di bawah program Strategi Lautan Biru Kebangsaan amat diminati rakyat kerana ia memudahkan urusan dan menjimatkan masa mereka.
Kini terdapat 41 agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang menyediakan perkhidmatan mereka seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen dan Polis di UTC Sabah yang dibuka sejak 16 Dis 2013.
Agensi lain yang turut menyediakan perkhidmatan ialah Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Pos Malaysia, Perpustakaan Negeri Sabah, Jabatan Air Negeri Sabah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Turut tersedia mesin pengeluaran wang automatik pelbagai perbankan, restoran, kafetaria dan surau.
Sesetengah pengunjung berpendapat perkhidmatan yang disediakan adalah sangat maju.
Misalnya mereka kagum dengan perkhidmatan membuat kad pengenalan baharu yang lebih pantas.
“Ada pelanggan yang berkata ‘punya capat’ (begitu cepat) apabila mereka memperoleh kad pengenalan hanya dalam tempoh antara satu hingga dua jam, tidak sehingga 30 hari seperti sebelum ini,” kata Penolong Pegawai Pendaftar JPN di UTC itu, Mohd Khajura Faiz.
Beliau berkata pihaknya memproses antara 300 hingga 400 permohonan sehari namun pada musim cuti sekolah, permohonan meningkat antara 600 hingga 700 sehari.
Sejak beroperasi, pihaknya telah memproses kira-kira 79,000 permohonan kad pengenalan, katanya.
Sehingga 31 Okt lalu, sebanyak 771,375 pengunjung sudah berkunjung ke UTC Sabah, dengan purata 2,000 pengunjung setiap hari.
Pada hari perasmian nanti, majlis akan diserikan dengan nyanyian juara AF 2014, Mohd Firman Bansir atau Firman dari Sabah. – BERNAMA