NEW DELHI – Mungkin ini satu-satu menteri seumpamanya di dunia tetapi Perdana Menteri India, Narendra Modi mencipta sejarah baharu apabila memperkenalkan jawatan Menteri Yoga; yang pasti tiada kena-mengena dengan Menteri Kesihatan atau Menteri Sukan.
Pengumuman mengejutkan semalam itu dinyatakan dalam rombakan Kabinet kali pertama beliau sejak mengambil alih kepimpinan pada Mei lalu dengan melantik bekas menteri pelancongan, Shripad Yesso Naik menerajui kementerian dikenali sebagai Ayush tersebut.
Ayush sebenarnya ialah akronim dalam bahasa Inggeris bagi rujukan Jabatan Ayurveda, Yoga, Naturopathy, Unani, Siddha dan Homeopathy yang ditubuhkan sejak 1995 serta sebelum itu diletakkan di bawah Kementerian Kebajikan Keluarga dan Kesihatan India.
Kementerian Ayush mengandungi lima majlis penyelidikan berpusat dan lapan institut penyelidikan kebangsaan; tetapi secara kebetulan, nama Ayush juga adalah panggilan biasa dalam ajaran Hindu yang berasal daripada bahasa Sanskrit bermaksud hidup panjang.
Menerusi rombakan itu, Modi yang juga pencinta amalan yoga berhasrat mempromosikan amalan kesihatan purba India dan semakin popular di serata dunia, malah beliau yang juga seorang pemakan sayur atau vegetarian sebenarnya mengamalkan yoga setiap hari.
Modi bahkan pernah diminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dua bulan lalu mewujudkan hari yoga antarabangsa dan ketika lawatan rasmi ke Amerika Syarikat, Presiden Barack Obama serius membincangkan isu yoga pada majlis makan malam di White House.
“Tahniah semua menteri yang baharu dilantik dan saya berharap anda semua terus bekerja dengan penuh semangat,†kata Modi dalam laman Twitter sebagai respons kepada rombakan 21 buah kementerian termasuk mewujdkan empat kementerian baharu. – Agensi


