KUALA LUMPUR – Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meminta semua pesara dan waris mereka supaya mengemaskini status pesara atau penerima pencen supaya urusan pembayaran pencen dapat dilakukan dengan efisyen.
Jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata isu berbangkit berhubung amaun pencen juga dapat diselesaikan jika pesara atau penerima pencen tampil atau menghubungi mana-mana pejabatnya.
Berdasarkan rekod jabatan itu, sejumlah RM11.95 juta dibayar kepada pesara yang meninggal dunia, namun bukan semua amaun berkenaan perlu dikutip semula.
“Sebahagian daripada amaun itu adalah untuk dibayar semula kepada waris yang layak menerima pencen dan sebahagian lagi perlu dikutip daripada waris yang tidak layak menerima pencen,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi mengulas laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 3 yang mendedahkan 1,226 pesara atau penerima faedah persaraan ATM yang meninggal dunia didapati masih menerima bayaran pencen berjumlah RM1.07 juta dari tahun 2012 sehingga 2013.
JHEV ATM berkata, daripada jumlah 3,786 pesara yang meninggal dunia, waris yang layak adalah 2,845 orang manakala waris yang tidak layak adalah 941 orang.
Dalam pada itu, RM8.09 juta dibuat pelarasan bagi 2,845 waris yang layak menerima pencen.
Bagi 941 waris yang tidak layak pula, surat tuntutan untuk membuat kutipan sudah dikeluarkan dan sejumlah RM977,729 berjaya dikutip semula daripada 303 waris setakat ini.
Menurut JHEV ATM, jumlah sebenar yang perlu dikutip balik hanya RM2.88 juta daripada 638 waris selepas mengambil kira amaun pelarasan yang dibuat dan kutipan balik yang diterima.
JHEV ATM juga sudah mengemukakan surat susulan menuntut semula bayaran pencen daripada semua waris yang terbabit dan membuat padanan data penerima pencen di JHEV apabila mendapat data kematian daripada Jabatan Pendaftaran Negara.
Selain itu, bayaran Bantuan Mengurus Jenazah juga akan diselaraskan dengan kutipan balik pencen yang telah dibayar selepas kematian pesara sebagai langkah untuk menyelesaikan isu itu. – BERNAMA