KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyokong cadangan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk menawarkan jawatan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) kepada warga asing bekelayakan.
Pengarah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) DPPM, Salman Saleh berkata, langkah berani itu membuka ruang kepada semua pihak berkelayakan termasuk warga asing mengisi jawatan terpenting dalam bidang sukan negara ini.
“Kami bersetuju dengan pendekatan Khairy Jamaluddin bagi memberi nafas baru kepada sebuah organisasi penting ini menggerakkan keupayaan dan cara bekerja yang baru di MSN selepas ini.
“DACS berharap isu membuka jawatan tersebut kepada warga asing tidak dijadikan isu lagi demi pembangunan sukan negara yang agak malap ketika kini. Perkara ini perlu diakui oleh semua pihak daripada mementingkan ‘ego’ kepada melihat kemajuan sukan itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Menurutnya, Kementerian Belia dan Sukan perlu berani berubah dan menyahut cabaran bagi memastikan semua keperluan dalam bidang sukan menjadi fokus kepada MSN kelak.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan mengapa sukan bola sepak dan badminton boleh menggunakan pengarah, pengurus dan jurulatih asing tetapi tidak untuk MSN.
Justeru, beliau meminta semua pihak bersikap terbuka dan rasional tentang cadangan yang dikemukakan oleh Khairy Jamaluddin demi memastikan tahap dan mutu sukan negara setanding dengan negara luar.
“Bagi DACS, Khairy Jamaluddin telah memulakan langkah berani yang memerlukan sokongan dan pandangan yang baik untuk melihat masa depan sukan dalam negara kita benar-benar melonjak tinggi di masa hadapan. Jangan ada prasangka buruk dan tuduhan sinis yang tidak membina atas agenda yang lain,” katanya.
Khairy Jamaluddin sebelum ini melaporkan jawatan Ketua Pengarah MSN terbuka kepada warga asing.
Jelas beliau, tidak timbul sebarang masalah jika warga negara asing memegang jawatan berkenaan kerana ia adalah kerjaya profesional dalam usaha menaikkan prestasi sukan negara.
Langkah beliau itu bagaimanapun mendapat kritikan ramai pemerhati dan tokoh sukan negara kerana dilihat mengetepikan anak tempatan.

