KUALA LUMPUR – Maktab Tentera DiRaja (MTD) akan memulakan program prauniversiti untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula Jun tahun depan.
Komandan MTD Kolonel Wan Ghazali Wan Din berkata pelajar yang dipilih untuk mengikuti program itu akan menjalani pengajian persediaan selama dua tahun sebelum melanjutkan pelajaran ke universiti di luar negara.
“Sebagai permulaan, hanya 25 pelajar akan dipilih untuk mengikuti program rintis itu. Pemilihan pelajar dibuat daripada 250 penuntut MTD yang menduduki SPM tahun ini,” katanya.
Wan Ghazali berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis penyerahan buku 100 Wira Negara di MTD Kem Sungai Besi di sini, hari ini.
Majlis penyerahan itu dilakukan Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman yang merupakan penulis buku itu.
Berhubung pengambilan pelajar MTD untuk sesi 2015-2016, Wan Ghazali berkata permohonan itu ditutup esok dan sehingga kini 4,500 permohonan diterima untuk mengisi 250 tempat. – BERNAMA