Anugerah Juara Lagu pada tahun ini dijangkakan mencatat persaingan sengit. Lihat sahaja barisan penyanyi dan komposer yang berentap untuk menempah tiket akhir kelak, semua hebat-hebat belaka.
Kelmarin, pertandingan peringkat semi final menyaksikan persembahan penuh tangisan oleh Fynn Jamal hingga sesiapa sahaja yang mendengar lagu Arjuna Beta turut berasa syahdunya.
Meskipun ramai tahu anak Fynn sendiri adalah subjek lagu tersebut, namun ada juga belum maklum kisah di sebaliknya.
Sebenarnya Arjuna Beta ini mengisahkan kasih sayang dan pesanan Fynn kepada buah hatinya yang paling mahal iaitu Arjuna.
Ketika lirik lagu ini digubah Fynn, Arjuna sedang bergelut dengan sakit jantung pada usia seawal 1 bulan.
Sesetengah kita mungkin masih ingat, kisah Arjuna pernah jadi viral apabila Fynn memerlukan dana sebesar RM35,000 bagi menyelamatkan nyawanya dengan lakukan pembedahan jantung.
Berkat sokongan dan doa ramai orang kini Arjuna sudah sihat, semakin besar dan ‘handsome’, malah mempunyai ramai peminat sendiri yang mengikuti perkembangannya menerusi laman sosial Fynn Jamal terutama Instagram.
Bagi peminat tegar Fynn Jamal sendiri pasti tahu, figura ini seorang yang mudah mengalirkan air mata. Justeru ketika mempersembahkan Arjuna Beta kelmarin, imbauan lampau terhadap dugaan hidup dan sokongan sekeliling yang diterima satu ketika dahulu tentu telah menyentuh hati Fynn hingga tidak dapat menahan tangis.
Apa yang pasti, tangisan itu tidak dibuat-buat dan semoga naskah jujur Fynn akan terus bercambah menemui peminatnya selepas ini tidak kiralah Arjuna Beta menang atau pun tidak di pentas lumba lagu. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: FARAH