KUALA LUMPUR – Satu jawatankuasa audit bebas telah dibentuk bagi menyiasat masalah air bertakung di tempat letak pesawat lapangan terbang antarabangsa baru itu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, jawatankuasa itu akan menyiasat perkara tersebut secara menyeluruh.
“Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah ditugaskan untuk melengkapkan inkuiri ini dengan penuh bertanggungjawab.
“Keselamatan penumpang dan operasi penerbangan sentiasa menjadi keutamaan Kementerian Pengangkutan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tiong Lai dalam pada itu menjelaskan masalah air bertakung itu telah disalah anggap sebagai banjir di KLIA.
Menurutnya, tanggapan itu tidak tepat kerana KLIA2 tidak pernah mengalami masalah banjir yang boleh menjejaskan operasinya.
Beliau turut menjelaskan jawapan bertulis beliau kepada Dewan Rakyat pada 15 Oktober lalu telah diputar belit oleh parti tidak bertanggungjawab.
“Dalam jawapan itu saya memaklumkan masalah air bertakung itu memang dijangkakan dalam fasa pembinaan,” katanya.
Pemimpin pembangkang, Tony Pua sebelum ini mempersoal kewibawaan pengurusan MAHB dan KLIA2 kerana gagal menyelesaikan masalah retakan dan tanah mendap di landasan, jalan rayap dan tempat letak pesawat.
Dakwa belia, isu tanah mendap telah menjadi ‘jenaka antarabangsa’ kerana perkara ini tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi di lapangan terbang yang menggunakan teknologi tinggi.
“Saya membangkitkan perkara ini kerana melihat satu video di Youtube semalam bertajuk ‘Berlaku banjir di KLIA2’ yang menunjukkan terdapat pekerja lapangan terbang sedang menimba air di kawasan landasan yang telah dinaiki air,” dakwa Tony. – mynewshub.cc

